Dakwaan mayat bayi ditanam rupanya bangkai kucing

Dakwaan mayat bayi ditanam rupanya bangkai kucing

nurhanim.osman@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kebimbangan penduduk di sebuah kawasan perumahan di Skudai berhubung dakwaan terdapat mayat bayi yang ditanam, akhirnya terjawab apabila siasatan pihak berkuasa mendapati objek itu adalah bangkai kucing yang dibalut dengan kain.

Perkara itu dikongsikan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim ketika beliau membuat lawatan ke kawasan berkenaan, hari ini.

Marina berkata, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh seorang penduduk.

“Terkejut kita pagi ini. Buat lawatan kawasan tengok isu setempat. Tiba-tiba makcik ini hampiri kitorang dan maklumkan ada orang tanam bayi.

“Satu kejiranan bercakap tentang ini. Kita pun minta pandangan polis kawasan. Yelah, bukan tak pernah berlaku kisah orang tanam bayi secara diam-diam.

“Tapi akhirnya apabila dikorek, rupanya kucing yang dibalut dengan kain. Makcik pun boleh tenanglah tidur malam nanti,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Marina berkata, walaupun kejadian itu mungkin dianggap remeh oleh sesetengah pihak, ia menunjukkan kepentingan sikap prihatin masyarakat dan kesediaan penduduk melaporkan aktiviti mencurigakan di kawasan kejiranan mereka.

Beliau berkata, penduduk mempunyai sebab untuk berasa curiga kerana individu yang dikaitkan dengan kejadian itu dikatakan sering bergaduh dan menimbulkan isu.

“Mungkin ada yang fikir, benda kecil. Tetapi, ia adalah gambaran tanggungjawab ambil kisah perihal sekeliling sebagai jiran.

“Yelah, macam makcik ini dan kejiranan lain tahu jiran tersebut selalu bergaduh dan timbulkan isu. Jadi kecurigaan dia pun ada asasnya. Alhamdulillah bukan seperti yang disangka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top