Man G meninggal dunia

Man G meninggal dunia

Kuala Lumpur: Dunia hiburan tanah air kehilangan seorang lagi anak seni apabila penyanyi dan pemain saksofon, Azharuzzaman Ariffin atau lebih dikenali sebagai Man G, meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di Ipoh, Perak, petang semalam.

Allahyarham yang berusia 58 tahun menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 5 petang selepas dipercayai akibat keletihan sekali gus mengejutkan keluarga dan rakan-rakan seperjuangan.

Adik Allahyarham, Aina Zuraya Ariffin, 57, berkata sebelum menghembuskan nafas terakhir, abangnya sempat menjayakan persembahan di Kuala Lumpur pada 31 Mei lalu sebelum mengadu keletihan sebaik pulang ke rumah.

“Ya, abang saya meninggal dunia petang semalam. Sebelum itu, pada 31 Mei lalu dia ada persembahan di Kuala Lumpur. Selepas pulang, dia mengadu badannya penat.

“Selepas menyapu minyak pada badan, dia terus tidur. Bagaimanapun, petang semalam keluarga menyedari dia tidak bangun daripada tidur,” katanya kepada BH Online.

Aina berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati tiga saluran jantung Allahyarham tersumbat hampir 90 peratus.

“Selepas bedah siasat dilakukan, pihak hospital memaklumkan abang meninggal dunia akibat terlalu penat dan tiga saluran jantungnya tersumbat hampir 90 peratus,” katanya.

Jenazah Allahyarham menjalani proses bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh sebelum dijadual dikebumikan di Tanah Perkuburan Rapat Setia, Ipoh, petang ini.

Menurut Aina, Allahyarham yang juga anak keempat daripada enam beradik itu dikenali sebagai seorang yang pendiam dan pemalu.

“Sejak dulu, ketika bergelar penyanyi pun dia memang seorang yang pemalu. Dalam kalangan adik-beradik, dia kurang bercakap.

“Tetapi apabila kami berkumpul dan berbual, dia sebenarnya seorang yang ramah.

“Boleh dikatakan dia juga anak kesayangan emak kerana abang sulung kami sudah meninggal dunia dan ayah juga sudah tiada,” katanya.

Sementara itu, penyanyi Datuk Azizul Khamis menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat industri muzik tanah air.

“Sudah lama kami tidak berjumpa, tetapi saya pernah beberapa kali menjayakan persembahan bersamanya. Dia seorang yang pendiam dan pemalu.

“Dulu dia popular dengan lagu Malam Gelisah dan banyak lagi karya ciptaan Allahyarham Ahmad Nawab yang cukup diminati pendengar.

“Dia juga pernah menerima jolokan sebagai Jamal Abdillah kerana memiliki suara yang hampir serupa,” katanya.

Penyanyi Datuk Jamal Abdillah turut mengakui suara dan wajah Allahyarham sering dikaitkan dengannya ketika kemunculan Man G dalam industri muzik sekitar era 1980-an.

“Saya pernah beberapa kali berjumpa dengannya, tetapi tidak begitu rapat.

“Setahu saya, dia mempunyai suara yang mirip saya dan rupa juga hampir sama.

“Ketika itu dia muncul dalam industri sewaktu saya sedang menjalani rawatan. Saya masih ingat kemunculannya bersama Allahyarham Ibnor Riza dan beberapa penyanyi lain,” katanya.

Turut meluahkan rasa sedih ialah penyanyi Datin Salwa Abdul Rahman yang mengakui mengikuti perjalanan seni Allahyarham sejak dahulu.

“Saya mengenali arwah, tetapi tidak begitu rapat. Namun, saya tahu dan mengikuti lagu-lagunya.

“Sudah lama kami tidak bertemu dalam mana-mana acara dan arwah juga sudah lama tidak muncul dalam industri. Apa pun, saya sedih mendengar berita ini,” katanya.

Semalam, sepupu Allahyarham, Aznur Radin, berkongsi berita pemergian penyanyi itu menerusi Facebook.

Menurutnya, selepas kerjaya nyanyian yang tidak panjang, Allahyarham meneruskan minatnya dalam bidang muzik sebagai pemain saksofon di Ipoh dan dikenali dengan nama Man G.

Allahyarham pernah menghasilkan album di bawah bimbingan komposer tersohor, Ahmad Nawab, menerusi lagu popular Malam Gelisah yang diperkenalkan pada 1988.

“Alhamdulillah, arwah pergi dengan tenang dan meninggal dunia dalam tidur. Semoga anak-anak, isteri, ibu, adik-beradik serta seluruh keluarga tabah dan reda dengan pemergiannya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top