Dakwaan tampar cucu Tok Guru Nik Aziz: UMNO digesa siasat pemimpin parti – Afnan Hamimi

Dakwaan tampar cucu Tok Guru Nik Aziz: UMNO digesa siasat pemimpin parti – Afnan Hamimi
Dakwaan tampar cucu Tok Guru Nik Aziz: UMNO digesa siasat pemimpin parti – Afnan Hamimi

Afnan Hamimi

SHAH ALAM – UMNO perlu segera menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap seorang tokoh politik parti itu berhubung dakwaan menampar cucu bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, insiden tersebut melibatkan pemimpin UMNO dan berlaku dalam premis mereka.

Menurutnya, mahasiswa tidak patut dikasari sedemikian dan perlu dihormati walaupun berlainan warna bendera politik dan kecenderungan mereka.

“Pemimpin UMNO tersebut memberikan penjelasan bahawa dia hanya menyentuh pipi Nik Alif Aiman sebagai tanda mesra. Penjelasan ini tidak boleh diterima akal.

“Tidak munasabah seseorang yang baru kali pertama bersua muka tiba-tiba menyentuh pipi sebagai tanda mesra. Kalau bersalaman, itu biasa dan munasabah.

“Nik Alif Aiman diberitakan telah membuat laporan polis mengenai insiden ini. Beliau selaku mangsa rasa terhina dan terjejas maruahnya dengan perbuatan pemimpin UMNO tersebut apatah lagi insiden itu berlaku dikhalayak ramai dalam satu majlis rasmi universiti,” ulasnya menerusi laman Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM, Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi memberi penjelasan di TikTok bahawa insiden itu berlaku dalam satu program ceramah anjuran UITM bertempat di Institut Latihan milik UMNO di Janda Baik, Pahang.

Ketika selesai sesi bergambar dan tamat ceramah Nik Alif Aiman bertegur sapa dengan pemimpin UMNO tersebut.

Apabila diberitahu bahawa Nik Alif Aiman adalah cucu kepada AlmarhumTok Guru Nik Aziz, berlaku dialog ringkas antara kedua-duanya yang berkaitan politik.

Ketika itulah Nik Alif Aiman mendakwa pipi kirinya ditampar oleh pemimpin UMNO tersebut.

Dalam masa sama, Afnan Hamimi turut menggesa pemimpin UMNO itu membuat permohonan maaf kepada Nik Alif Aiman dan keluarga sebagai tanda menyesali perbuatannya.

“Nik Alif Aiman mempunyai maruah dan bukan barang lelongan di pasar malam yang boleh disentuh apatah lagi ditampar di khalayak ramai,” ujarnya.

Scroll to Top