Trump didakwa luah kemarahan terhadap Netanyahu dalam panggilan berkaitan konflik Lubnan

Trump didakwa luah kemarahan terhadap Netanyahu dalam panggilan berkaitan konflik Lubnan
Trump didakwa luah kemarahan terhadap Netanyahu dalam panggilan berkaitan konflik Lubnan

Ilustrasi foto yang menggabungkan imej Trump, anggota tentera laut AS dan Netanyahu. Foto Sarah Grillo/Axios.

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump didakwa meluahkan kemarahan terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam satu panggilan telefon tegang berhubung peningkatan operasi ketenteraan Israel di Lubnan, menurut laporan Axios.

Menurut laporan itu yang memetik beberapa sumber rasmi AS, Trump menyifatkan tindakan Israel semakin memburukkan keadaan serantau dan memberi amaran bahawa ia boleh mengasingkan Israel di peringkat antarabangsa.

“Setiap orang membenci kamu sekarang. Semua orang membenci Israel kerana perkara ini,” demikian antara kenyataan yang didakwa disampaikan Trump dalam perbualan tersebut, menurut seorang sumber yang dipetik laporan berkenaan.

Sumber sama turut mendakwa Trump menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan Israel yang didakwa meningkatkan serangan walaupun operasi tersebut menyasarkan sasaran tertentu di Lubnan.

Trump juga dikatakan mempersoalkan tindakan ketenteraan Israel termasuk rancangan menyerang Beirut serta operasi yang menyebabkan kematian orang awam, selain menegaskan bahawa pendekatan itu boleh merosakkan usaha diplomatik yang sedang berjalan dengan Iran.

Dalam perbualan itu, Trump turut didakwa menyebut bahawa beliau sebelum ini membantu Netanyahu dalam isu perundangan di Israel, sekali gus menyatakan pemimpin Israel itu sepatutnya lebih menghargai sokongan tersebut.

Laporan berkenaan turut menyebut bahawa Netanyahu dilaporkan mempertahankan operasi ketenteraan Israel dengan alasan tindakan itu bertujuan mengekang ancaman Hizbullah.

Bagaimanapun, satu sumber AS mendakwa Trump berjaya ‘mengendurkan’ ketegangan dalam panggilan tersebut dan menghentikan rancangan serangan lebih besar ke atas Beirut.

Setakat ini, tiada pengesahan rasmi dikeluarkan oleh Rumah Putih atau Pejabat Perdana Menteri Israel berhubung butiran perbualan tersebut. – Agensi

Scroll to Top