Dalam dunia hiburan, Datuk Awie telah meletakkan karya rocknya di tahap yang cukup tinggi. Masakan tidak, lebih empat dekad menghambakan diri, beliau terus mencipta satu per satu kejayaan.
Namun, hakikatnya pemilik nama sebenar Ahmad Azhar Othman cuma manusia biasa yang pasti mengharungi turun dan naiknya.
Semuanya ditutup rapat sehinggakan tiada seorang peminat pun yang dapat membaca isi hati seorang rockers kental seperti beliau.
Awie beranggapan dirinya ibarat badut yang dalam menyimpan duka, terpaksa menghiburkan peminat yang menyokong 41 tahun perjalanan seni beliau.
“Dalam apa juga keadaan, saya kena senyum dan menghiburkan. Ketika bersedih, menyimpan duka, bercerai dan putus tunang. Mahu atau pun tidak, saya kena hiburkan masyarakat.
“Orang tidak pernah menyelami perasaan saya. Dalam menyanyi di pentas, saya bagi sepenuh jiwa, buat orang tersenyum dan terhibur. Pada masa sama, saya tengah berduka. Tidakkah ibarat badut namanya,” katanya.
Awie berkata demikian ketika sidang media Konsert Awie Rock King: Last Man Standing di premiera hotel, baru-baru ini.
Sementara itu, Awie meluahkan kebimbangan terhadap kewujudan lambakan akaun palsu media sosial yang menggunakan identitinya sebagai muka hadapan.
“Saya tidak pernah berkongsi perkara yang bukan-bukan di media sosial. Itu masalahnya apabila wujudnya lambakan akaun palsu ini. Banyak kandungan palsu yang mereka kongsikan.
“Saya hanya menggunakan Instagram, TikTok dan Facebook Awie Al Pamalo. Selain daripada itu, bukan saya. Kalau dilihat di TikTok, bersepah nama dan muka saya. Walhal saya hanya gunakan satu akaun sahaja,” katanya lagi.

PERJALANAN SEORANG ROCK KING
12 September ini tercipta satu lagi malam bersejarah apabila penyanyi rock kesayangan ramai ini bakal menggegarkan Stadium Merdeka menerusi konsert Rock King Awie: Last Man Standing.
Buat kesekian kalinya, Awie bekerjasama dengan penganjur Bombay Legend bagi menghidupkan konsert berskala mega ini.
“Bombay datang kepada saya dengan membawa konsep yang lengkap bersama penceritaan. Perkara itu yang membuatkan saya tertarik.
“Kita nak jual konsep. Jadi kami berbincang dari hari ke hari, akhirnya mendapat kata putus dan kita adakan sidang media,” katanya.
Disoal mengenai konsep, Awie mengakui ‘plug and play’ sudah ditakuk lama. Beliau ingin mempersembahkan konsep baharu yang membawa kreativiti pemuzik ke luar kotak.
“Kita ada lebih 20 pemuzik. Saya mungkin akan pecahkan kepada beberapa band untuk olah semula lagu-lagu itu kepada ‘gelombang baharu’.
“Jadi tak adalah kita mendengar muzik yang sama. Lagu itu kita ubah konsep muziknya. Orang akan mendengar muzik segar, santai, boleh dinyanyikan bersama dan senang diterima pelbagai peringkat umur.
“Konsep begini adalah satu pembaharuan dalam konsert. Pemuzik sebelum ini akan mainkan muzik yang ada dalam lagu. Namun kali ini, pemuzik main ikut kreativiti sendiri,” ujarnya.
Mengulas tentang lokasi penganjuran, Awie memaklumkan beliau pada masa sama ingin menghidupkan kenangan yang direkodkan dengan peminat di stadium merdeka 11 tahun lalu.
“Mengadakan konsert solo di Stadium Merdeka merupakan tugas yang berat. Walaubagaimanapun kita cuba jayakan sebaik mungkin,” kongsinya.




