syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi dan komposer, Zynakal, meluahkan rasa terkilan terhadap segelintir peminat muzik tanah air yang dilihat lebih memberikan sokongan kepada karya berunsurkan Kecerdasan Buatan (AI) berbanding karya asli daripada anak seni tempatan.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di aplikasi Threads, Zynakal atau nama sebenarnya Muhammad Raziq Rosli, 28, meminta orang ramai untuk lebih menghargai pemuzik yang benar-benar menghasilkan karya secara asli di Malaysia.
“Hargai orang yang benar-benar menghasilkan muzik di Malaysia ini. Lelaki itu menjual kereta, adakah anda mahu menunggu single seterusnya daripadanya?” tulisnya.
Mengulas lanjut, pelantun lagu Sakit itu menegaskan bahawa dia tidak mempunyai sebarang perselisihan faham atau dendam terhadap mana-mana individu termasuklah penjual kereta yang kini dikenali sebagai pempengaruh.
Bagaimanapun, dia berasa ralat apabila seseorang yang tular hanya kerana menggunakan teknologi AI terus dianggap sebagai seorang pemuzik, sekali gus menggugat kedudukan anak seni yang berhempas-pulas berkarya.
“Saya tidak mempunyai sebarang perselisihan faham dengannya. Cuma janganlah disebabkan dia tular menggunakan lagu AI, terus mahu menganggap dia sebagai seorang pemuzik.
“Habis itu, apa yang kami sebagai anak seni ini perlu lakukan? Jual kereta?” tulisnya.
Zynakal yang cukup dikenali menerusi naskhah-naskhah mendalam seperti Sakit, Sendiri, dan Dalam Diam mengakui terkilan apabila sokongan peminat seolah-olah beralih arah kepada teknologi berbanding emosi dan usaha manusia.
“Saya menghasilkan lagu Sakit, Sendiri dan Dalam Diam, tetapi pada akhirnya orang ramai menyokong lagu AI. Apa perasaan anda?” tulisnya.
Hantaran itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya, dengan rata-ratanya bersetuju bahawa nilai estetika dan jiwa dalam sesebuah karya muzik tidak boleh ditukar ganti dengan teknologi mesin.
© New Straits Times Press (M) Bhd




