Dalam setandan pisang tidak semuanya busuk!

Dalam setandan pisang tidak semuanya busuk!

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dalam setandan pisang tidak semuanya busuk!

Demikian perumpamaan sesuai digambarkan buat barisan pengadil Malaysia apabila Nazmi Nasaruddin mengharumkan nama negara terpilih mengadili aksi final Piala Asia Bawah 20 (B-20) di Uzbekistan malam tadi.

Ketika segelintir pengadil Liga Malaysia dikecam ekoran prestasi yang tidak memuaskan hingga ada yang digantung oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kecemerlangan Nazmi di peringkat Asia itu menunjukkan bahawa tidak semua pengadil tempatan kurang berkualiti.

Selain Nazmi, seorang lagi pengadil negara turut terbabit dalam perlawanan akhir itu di mana Zairul Khalil Tan dipilih menjadi penjaga garisan.

Dua pengadil lagi, membabitkan pegawai dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) iaitu Ahmed Alrashdi (penjaga garisan) dan Yahya Almulla (pengadil keempat).

Mungkin satu kebetulan, FAM hari ini memutuskan menggantung pengadil tempatan, Zulkarnain Zakaria yang didakwa terkhilaf dalam membuat keputusan ketika aksi Liga Super antara Sabah FC dan Penang FC di Stadium Likas, Jumaat lalu.

Keputusan pantas FAM itu seharusnya dipuji bagi menyelamatkan imej dan integriti badan pengadilan bola sepak tempatan terus diyakini semua pihak termasuk pemerhati antarabangsa.

Selepas aksi final Piala Asia B-20 itu, Nazmi dan Zairul menerima medal penghargaan di atas khidmat cemerlang mereka dalam mengadili perlawanan akhir itu.

Dalam aksi itu, Uzbekistan muncul juara menewaskan Iraq menerusi gol tunggal perlawanan yang disumbangkan Rahmonaliyev selepas tenang menyempurnakan sepakan penalti di minit 72.

© New Straits Times Press (M) Bhd