Pelakon, Fattah Amin mencuri tumpuan apabila menitipkan nukilan cinta buat isteri tercinta, penyanyi, Amira Othman.
Menerusi perkongsian di Instagram (IG) miliknya, Fattah atau pemilik nama penuhnya Abdul Fattah Mohd Amin ini menyifatkan kisah cintanya bersama Amira seindah takdir.
“Dalam tiap helaian takdir, terukir kisah kita. Setulus takdir menyatu dalam satu akad. Setiap detik adalah puisi cinta yang tidak terucap, namun tersemat pada setiap jiwa yang ikhlas,” tulisnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menyifatkan aktor filem Pendekar Awang itu seorang jejaka yang sangat puitus, terutamanya ketika menzahirkan rasa cintanya terhadap pasangan.
Terdahulu, Fattah dan Amira sah menjadi pasangan suami isteri pada Ahad malam, 14 September 2025 yang diadakan di Sepang, Selangor, pada malam Ahad.




