Danial Syahmi positif raih podium Asia Talent Cup

Danial Syahmi positif raih podium Asia Talent Cup

sukhairi@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Pelumba muda Danial Syahmi Ahmad Shahril percaya mampu memperoleh penamat podium pada Pusingan 2 Asia Talent Cup (ATC) hujung minggu ini selepas memberikan saingan sengit pada pembuka tirai kempen 2021 di Litar Antarabangsa Losail, minggu lalu.

Danial yang kembali ke saingan ATC tahun ini selepas berehat hampir dua tahun daripada saingan kompetitif susulan mengalami kecederaan serius di betis pada kemuncak musim 2018 percaya dengan kemampuannya untuk berada di pentas podium selepas menamatkan dua perlumbaan minggu lalu masing-masing di tempat keketujuh dan keenam.

“Saya memerlukan yang lebih baik lagi untuk pusingan akan datang,” kata pelumba berusia 19 tahun yang sebelum ini berehat lebih setahun di hospital bagi memulihkan tulang betisnya yang hancur kira-kira 10 sentimeter susulan kemalangan ngeri itu.

“Untuk pusingan seterusnya, saya akan cuba dapatkan podium selepas perlumbaan baru-baru ini saya mampu memberikan saingan yang baik dan berjaya menamatkan perlumbaan di tempat keenam (Perlumbaan 2). Hanya sedikit saja dengan (penamat) podium. Saya percaya pada pusingan kedua nanti, saya boleh melakukan yang lebih baik.”

Dalam perlumbaan itu, rakan seperjuangan Danial yang juga pelumba rookie, Hakim Danish Ramli, 14, membuat kejutan apabila menamatkan kedua-dua perlumbaan di tempat ketiga dan kini berada di tangga kedua keseluruhan dengan 32 mata manakala pelumba Jepun, Taiyo Furusato mengungguli senarai, 50 mata.

Danial pula berada di tangga ketujuh keseluruhan, berkongsi 19 mata dengan seorang lagi rakan seperjuangan, Sharul Ezwan Sharil yang menamatkan kedua-dua perlumbaan masing-masing di tempat kelima dan kelapan.

Pusingan 2 dijadual berlangsung di litar sama dari 2 hingga 4 April ini sebelum saingan beralih ke Litar Twin Ring Motegi, Jepun pada Oktober nanti. Pusingan seterusnya dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand pada Oktober sebelum Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjadi tuan rumah pada hujung Oktober.

Litar baharu Indonesia, Mandalika bakal menjadi saingan kemuncak musim 2021 dari 12 hingga 14 November sempena perlumbaan Kejuaraan Superbike Dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top