UniKL, THT buat perhitungan final Piala TNB

UniKL, THT buat perhitungan final Piala TNB

sukhairi@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Pasukan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bakal membuat perhitungan dengan Terengganu Hockey Team (THT) di pentas final Piala TNB, Sabtu ini bagi mempertahankan gelaran trebel yang diraih mereka musim lalu.

Pada aksi separuh akhir kedua sebentar tadi, UniKL menewaskan TNB 3-1 sekali gus melangkah ke final dengan agregat 4-1 manakala THT mara selepas meraih kemenangan 2-1 ke atas Maybank, juga dengan agregat sama.

THT yang berbekalkan kelebihan 2-0 selepas aksi separuh akhir pertama baru-baru ini, membuka tirai jaringan pada minit ketiga menerusi jaringan sudut penalti dilakukan Luqmannul Hakim Ahmad Shukran.

Asakan demi asakan dilakukan Maybank bagi mengurangkan defisit jaringan dan Alfarico Lance Liau Jr berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-24 menerusi jaringan padang sebelum THT memuktamadkan kemenangan menerusi Muhammad Sufi Ismat Md Rohulamin (m-39).

UniKL dalam pada itu, dikejutkan dengan jaringan awal TNB pada minit ke-32 menerusi jaringan padang Muhammad Shamir.

Begitupun, UniKL bijak mengawal situasi perlawanan apabila bangkit menjaringkan tiga gol, masing-masing menerusi Muhamad Hafiz Zainol pada minit ke-47, Muhammad Marhan Mohd Jalil (minit ke-53) dan Muhammad Razie Abd Rahim (minit ke-59).

Dalam pada itu, UniKL Ladies dan PKS United-KPT akan berentap pada final Piala Vivian May Soars selepas menewaskan lawan masing-masing pada aksi separuh akhir kedua yang turut berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

UniKL Ladies mencatat kemenangan 3-0 ke atas Sabah sekali gus mara dengan agregat 11-0 manakala PKS Uniten-KPT mengatasi PDRM Blue Warriors menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan apabila terikat 4-4 secara agregat selepas aksi berakhir dengan keputusan 1-1.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top