Hampir 300,000 pelancong Malaysia bercuti di selatan Thailand, jana lebih RM123.2 juta

Hampir 300,000 pelancong Malaysia bercuti di selatan Thailand, jana lebih RM123.2 juta

SONGKHLA – Hampir 300,000 pelancong Malaysia membanjiri selatan Thailand sepanjang cuti Aidiladha dan cuti persekolahan dari 27 Mei hingga 4 Jun lepas, menjana lebih satu bilion baht (RM123.2 juta) kepada sektor pelancongan negara itu.

Presiden Persatuan Hotel Hat Yai-Songkhla, Sittipong Sitthiphataraprabah berkata, pelancong Malaysia memasuki Thailand melalui sembilan pintu sempadan darat di Narathiwat, Yala, Songkhla dan Satun.

Beliau berkata ,Songkhla, Satun, Phatthalung, Trang, Krabi, Nakhon Si Thammarat, Surat Thani, Pattani, Yala dan Narathiwat antara tumpuan pelancong Malaysia.

“Lebih 30,000 bilik hotel direkodkan penuh sepanjang tempoh berkenaan, sekali gus menjana pendapatan pelancongan melebihi satu bilion baht,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pintu masuk darat paling sesak ialah Bukit Kayu Hitam-Sadao, Padang Besar, Sungai Golok dan Betong.

Bagaimanapun, Sittipong melahirkan rasa kecewa apabila ramai pelancong Malaysia terpaksa menunggu antara tiga hingga empat jam untuk urusan imigresen, khususnya di Kompleks Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao.

“Ada pelancong yang terkandas ketika mahu pulang ke Malaysia sehingga terpaksa bermalam di dalam kenderaan atau di tepi jalan kerana kesesakan yang luar biasa,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah memaklumkan perkara itu kepada agensi berkaitan dan berharap langkah penambahbaikan dapat disegerakan bagi memastikan selatan Thailand terus menjadi pilihan pelancong Malaysia.

Sementara itu, Faizul Nasruddin, 40, dari Banting, Selangor, berkata beliau dan isterinya sanggup menunggang motosikal lebih lapan jam untuk bercuti di Hat Yai kerana tarikan makanan yang pelbagai, enak dan berpatutan.

“Walaupun berdepan kesesakan di pintu sempadan, saya tetap akan datang lagi kerana tiada tempat lain yang setanding dengan Hat Yai,” katanya.

Seorang lagi pelancong, Hasbul Hisyam Yusuf, 42, dari Terengganu berkata, beliau mengambil kesempatan sempena cuti sekolah untuk membawa keluarganya bercuti di Hat Yai sebelum sesi persekolahan bermula Isnin ini.

“Makanan yang sedap dan murah, saya memilih untuk datang ke Hat Yai berkali-kali setiap kali musim cuti. Kebanyakan destinasi di Malaysia sudah kami lawati, jadi Hat Yai menjadi pilihan keluarga,” katanya.- Bernama

 

Mesti Baca

Scroll to Top