DAP kecewa penubuhan cawangan di kawasan majoriti Melayu dipertikai UMNO

DAP kecewa penubuhan cawangan di kawasan majoriti Melayu dipertikai UMNO

MELAKA – DAP Melaka meluahkan rasa kecewa apabila penubuhan cawangan parti itu di kawasan majoriti Melayu di Kampung Padang Temu di sini menerima reaksi negatif dalam kalangan pemimpin UMNO Kota Melaka.

Pengerusinya, Khoo Poay Tiong berkata, kenyataan balas UMNO berhubung perkara itu tidak mencerminkan semangat perpaduan Malaysia yang sedang dibina.

“Malaysia sedang bergerak ke arah sebuah masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama, di mana semua rakyat boleh hidup dalam harmoni dan bekerjasama untuk membina Malaysia yang lebih baik tanpa mengganggu struktur Perlembagaan negara dan perkara-perkara asas.

“Penubuhan cawangan DAP di Kampung Padang Temu membuktikan bahawa DAP bukan parti untuk satu kaum sahaja, tetapi parti untuk semua rakyat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kepimpinan dalam parti perlu dinilai berdasarkan keupayaan menjalankan tanggungjawab kepada rakyat dan bukannya berdasarkan kaum semata-mata.

“Isu longkang ialah isu Melayu, Cina dan India. Isu masjid ialah isu Melayu, Cina dan India.

“Isu kuil ialah isu Melayu, isu Cina dan isu India. Isu alam sekitar ialah isu Melayu, isu Cina dan isu India,” katanya.

Tambah beliau, semua isu tersebut merupakan tanggungjawab bersama sebagai rakyat Malaysia dan setiap kaum perlu saling menjaga antara satu sama lain.

“Kita tidak perlukan satu kaum sahaja untuk mewakili kaum tertentu. Seorang pemimpin Melayu boleh mewakili semua rakyat. Seorang pemimpin Cina boleh mewakili semua rakyat. Seorang pemimpin India boleh mewakili semua rakyat. Seorang pemimpin Sabahan atau Sarawak juga boleh mewakili semua rakyat.

“Di DAP, perkara paling penting bagi kami ialah sama ada seseorang pemimpin dan ahli parti boleh bekerja, turun padang serta menjalankan amanah untuk rakyat. Itu yang paling utama,” katanya.

Poay Tiong pada Isnin berkongsi hantaran bahawa DAP Melaka mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menubuhkan cawangan pertama di Kampung Padang Temu Kini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.

Katanya, penubuhan cawangan tersebut membuktikan parti itu kini semakin diterima pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

Rentetan itu, Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman memandang serius kenyataan yang cuba menggambarkan penubuhan cawangan DAP di Kampung Padang Temu sebagai satu ‘sejarah besar’ yang kononnya membuktikan masyarakat Melayu semakin menerima perjuangan parti itu.

Abdul Razak berkata, hakikatnya penyertaan beberapa individu Melayu itu melibatkan mereka yang kecewa selepas menutup cawangan Parti Amanah Negara (Amanah) dan hanya ‘salin kulit’ sebelum menyertai DAP.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah turut meluahkan kekecewaan terhadap hantaran Ahli Parlimen Kota Melaka itu yang secara terbuka meraikan penubuhan cawangan DAP Kampung Padang Temu di DUN Telok Mas, sambil cuba menjual naratif kononnya masyarakat Melayu kini semakin menerima perjuangan DAP.

Katanya, kenyataan bahawa lebih 80 peratus ahli cawangan tersebut terdiri daripada orang Melayu jelas merupakan percubaan membina persepsi politik bahawa sokongan Melayu terhadap DAP sedang berkembang di kawasan majoriti Melayu sedangkan hakikat sebenar jauh berbeza.

 

Scroll to Top