PETALING JAYA: Kerajaan Persekutuan digesa menggubal undang-undang khas bagi menjamin pemberian peruntukan kepada semua Ahli Parlimen tanpa mendiskriminasi berdasarkan pegangan politik.
Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo berkata, kelulusan undang-undang berkenaan akan menghapuskan budi bicara politik dalam proses pemberian peruntukan, selain menjamin ketelusan serta melindungi hak semua pengundi di seluruh negara secara kekal.
Beliau berkata, langkah tersebut selaras dengan janji pilihan raya Pakatan Harapan (PH) untuk memastikan peruntukan pembangunan yang saksama diberikan kepada semua Ahli Parlimen.
Tegasnya, DAP kekal komited untuk menunaikan janji pilihan raya PH iaitu memastikan Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) yang saksama kepada semua Ahli Parlimen.
“Kami telah menyampaikan perkara ini kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) berulang kali dan berharap beliau mengambil langkah yang diperlukan untuk melaksanakannya secepat mungkin.
“Manifesto pilihan raya PH secara jelas menyebut penyediaan peruntukan pembangunan yang saksama kepada semua Ahli Parlimen secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Anwar dalam ucapan ketika sesi penggulungan Kongres PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), mengumumkan tambahan peruntukan RM1 juta bagi setiap kawasan Parlimen di seluruh negara yang akan disalurkan terus untuk rakyat.
Perdana Menteri turut menegaskan bantuan kerajaan tidak akan didiskriminasikan berdasarkan kecenderungan politik sesebuah kawasan, sekali gus menolak dakwaan bahawa kerajaan menyekat peruntukan pembangunan kepada negeri yang ditadbir pembangkang.
Mengulas lanjut, Gobind yang juga Menteri Digital berkata, prinsip berkenaan penting kerana tindakan menahan peruntukan yang saksama boleh menjejaskan mandat demokratik wakil rakyat yang dipilih.
“Pengundi di mana-mana kawasan Parlimen tidak sepatutnya didiskriminasi hanya disebabkan oleh pilihan atau pegangan politik mereka,” katanya.
Beliau berkata, walaupun pengumuman peruntukan tambahan secara terus kepada setiap kawasan Parlimen itu amat membantu, langkah terbabit masih belum menyelesaikan isu teras berhubung komitmen menyediakan peruntukan yang saksama dan bebas daripada diskriminasi kepada semua Ahli Parlimen.
Ahli Parlimen Damansara itu menggesa Perdana Menteri mengatasi kelewatan berhubung perkara itu dengan terlebih dahulu menyediakan peruntukan yang saksama kepada semua Ahli Parlimen.
“Seterusnya, menggubal undang-undang yang menjamin peruntukan kawasan yang saksama secara kekal bagi setiap Ahli Parlimen di Malaysia,” katanya yang turut memuji pengumuman peruntukan tambahan itu. – UTUSAN


