am@hmetro.com.my
Kuala lumpur: Jabatan Penerangan (JaPen) hari ini mengadakan kunjungan ke Bahagian Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima Berhad (Media Prima) menerusi inisiatif Singgah Media Merdeka bagi memperkukuh kerjasama strategik dengan organisasi media menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 (HKHM 2026), pada 31 Ogos dan 16 September ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) JaPen Wan Saidatul Shafina Mohd Amin berkata, sinergi kukuh antara jabatan itu dengan organisasi media membantu memperluas mesej perpaduan dan patriotisme, selain menggalakkan rakyat Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang menjelang sambutan berkenaan.
“Ekosistem media Media Prima yang luas, merangkumi platform televisyen, radio dan dalam talian, memberi capaian besar untuk menyebarkan mesej inisiatif ini serta menggalakkan penyertaan masyarakat yang lebih meluas.
“Ia juga bertujuan memastikan rakyat Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang mengikut spesifikasi yang betul, di samping mengekalkan semangat patriotisme,” katanya selepas kunjungan itu.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat JaPen Mohd Haizul Hod bersama pegawai jabatan berkenaan.
Media Prima pula diwakili Ketua Pegawai Operasi New Straits Times Press (M) Berhad Luqman Adrine Ja’afar, Pengurus Besar Kumpulan Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan dan Pejabat Pengerusi Kumpulan Media Prima Azlan Abdul Aziz, Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit, Pengarang Kumpulan Berita Harian Zulkifli Jalil, Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian M Thillinadan serta Editor Berita Kanan (Penyelaras Kandungan) New Straits Times Robin Augustin.
Wan Saidatul Shafina berkata, cara generasi muda Malaysia menzahirkan semangat patriotisme turut berubah seiring perubahan zaman.
“Apabila zaman berubah, cara generasi kini menzahirkan semangat patriotisme juga berubah.
“Mereka menzahirkannya menerusi seni, muzik, video, penceritaan dan karya kreatif. Mengibarkan Jalur Gemilang penting sebagai tindakan fizikal, namun kita juga perlu melihat aspek lain yang menjadi cara mereka menzahirkan kecintaan kepada negara,” katanya.
Sementara itu, Husain menekankan peranan media dalam menyemarakkan semangat kemerdekaan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Beliau berkata, pelbagai platform Media Prima, termasuk televisyen, radio dan media sosial, perlu bergerak seiring bagi menyampaikan mesej berkenaan kepada masyarakat.
“Bagi saya, semangat kemerdekaan perlu ditekankan kepada masyarakat menerusi semua platform yang kita ada, termasuk media sosial, radio, televisyen dan sebagainya.
“Jika semua pihak memainkan peranan, mesej yang ingin kita sampaikan akan sampai kepada rakyat,” katanya.
Dengan lebih 30 juta penonton, pendengar dan pembaca menerusi pelbagai platformnya, Husain yakin mesej berkenaan dapat disampaikan kepada rakyat di seluruh negara.
Kunjungan itu berakhir dengan penyerahan simbolik Kit Media Merdeka dan Jalur Gemilang, selain lawatan ke bilik berita.
© New Straits Times Press (M) Bhd


