Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim tersentuh apabila menerima duit raya daripada kanak-kanak sewaktu dapat perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.
Dapat duit raya daripada kanak-kanak
Menerusi perkongsian di media sosial, Anwar dilihat menghampiri kanak-kanak terbabit yang berada di luar pagar dan menyapa mereka.
Difahamkan, kanak-kanak terbabit begitu teruja bertemu dengan Perdana Menteri dan menghulurkan duit raya kepada beliau.
“Sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur semalam, saya sempat menyantuni adik Uwais Al Qorni dan kakaknya Aesha Khadeeja di pagar Lapangan Terbang Sultan Mahmud.
Tersentuh hati melihat keikhlasan mereka menghulurkan duit raya, satu tanda kasih yang merendahkan jiwa,” tulisnya.
Tanda kebersamaan rakyat tanpa kira usia
Ujar beliau di ruangan kapsyen, pemberian ikhlas yang diterima tersebut adalah satu tanda kebersamaan rakyat tanpa mengira usia dan saling menguatkan diwaktu krisis seperti ini.
Anwar juga mengakui sayu melihat wajah-wajah generasi muda yang merupakan amanah untuk memastikan mereka terus diberi peluang yang adil.
“Saya anggap ia simbol kebersamaan rakyat tanpa mengira usia, saling menguatkan tatkala mendepani krisis ketika ini.
Melihat wajah-wajah ini, terbit rasa sayu dan kasih, amanah kita adalah memastikan setiap anak Malaysia dibesarkan dengan kasih sayang, didikan baik dan peluang yang adil,“katanya.

Tersentuh dapat RM7!
Sewaktu di dalam pesawat, beliau telah membuka sampul duit raya tersebut dan menerima RM7 daripada dua beradik berkenaan.
Anwar turut berseloroh menyatakan dirinya sudah berpuluh tahun tidak menerima duit raya dan terharu dengan ingatan kanak-kanak kepadanya.

Beliau juga mendoakan agar adik Uwais Al Qorni dan Aesha Khadeeja membesar menjadi generasi berilmu, berakhlak dan membawa kebaikan kepada keluarga serta negara.
Sumber: Instagram anwaribrahim_my




