Cubaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kota Melaka mengaitkan isu banjir kilat di Duyong dengan peruntukan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan menerima reaksi di luar jangka apabila ramai netizen, termasuk penduduk Cina yang tampil mempertahankan ADUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Menurut laporan Malaysia Gazette, menerusi satu hantaran di Facebook, DAPSY Kota Melaka mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang didakwa memperuntukkan lebih RM1 juta setahun kepada tujuh ADUN lantikan, selain mengaitkan perkara itu dengan masalah banjir kilat yang berlaku di Duyong.
Bagaimanapun, ruangan komen hantaran berkenaan dipenuhi pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang menolak dakwaan tersebut.
Ramai menyifatkan Mohd Noor Helmy sebagai wakil rakyat yang komited dalam menangani isu banjir, malah mendakwa usaha berkenaan jauh lebih berkesan berbanding ketika kawasan itu diwakili DAP.

Seorang pengguna Facebook, Hokkien Lui mendakwa kawasan perumahannya berdepan masalah banjir selama bertahun-tahun tanpa penyelesaian ketika berada di bawah wakil rakyat DAP, namun isu itu berjaya diatasi selepas Mohd Noor Helmy mengambil alih kawasan berkenaan.
“Sorry, taman saya banjir beberapa tahun, aduan beberapa tahun, masa YB DAP pun tak dapat diselesaikan. Helmy buat dalam beberapa bulan saja.
“Sekarang keluarga kami tak perlu lagi berjaga setiap kali hujan lebat waktu malam. Kalau tak percaya, datang sendiri ke Duyong dan Semabok,” dakwanya.
Pandangan itu turut disokong ramai pengguna media sosial lain yang beranggapan kritikan DAPSY terhadap Mohd Noor Helmy tidak berasas kerana beliau dilihat aktif turun padang serta mengambil tindakan segera setiap kali berlaku banjir.

Seorang lagi pengguna, Anson Khoo berkata, Mohd Noor Helmy sering berada di lokasi kejadian, termasuk pada lewat malam bagi meneliti punca banjir sebelum tindakan susulan dilaksanakan.
“Setiap kali banjir kilat, dia antara orang pertama sampai. Selepas air surut, dia bantu uruskan pembersihan, sediakan makanan kepada penduduk dan usahakan naik taraf longkang.
“Dulu ketika Duyong diwakili DAP, saya cuma nampak edar kuih bulan sekali, selepas itu hilang,” tulisnya.
Sementara itu, Kelvin Chong menyifatkan tindakan DAP menyerang Mohd Noor Helmy sebagai satu kesilapan yang boleh memberi kesan negatif kepada parti itu sendiri.
“Yang paling top perform punya YB Helmy di Melaka pun nak gaduh? Nak semua Cina bungkus DAP dalam next PRU ke? You pick a wrong YB bro, jangan main politik macam ini. Kita dah bosan,” luahnya.

Seorang lagi netizen, Stanley Leong berpandangan rakyat lebih mengutamakan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi berbanding pertelingkahan politik.
“Saya dah lama mengikuti YB Mohd Noor Helmy. YB memang seorang wakil rakyat yang rajin turun padang dan kuat bekerja. Orang macam ini pun nak diserang?
“Daripada asyik buat posting di Facebook, lebih baik fokus berkhidmat kepada rakyat dan selesaikan isu yang ada. Rakyat dah penat dengan budaya saling menyalahkan dan berpolitik,” kongsinya.
Sebelum ini, Mohd Noor Helmy memuat naik hantaran memaklumkan hujan lebat menyebabkan beberapa longkang di Duyong melimpah serta menasihatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada.

Hantaran tersebut kemudian dikongsikan semula oleh DAPSY Kota Melaka yang mengaitkan insiden banjir itu dengan isu peruntukan kepada tujuh ADUN lantikan.
Sumber: Malaysia Gazette (Reza A Hamid)




