
Muhamad Akmal
SHAH ALAM – Sosialis Muda DAP (DAPSY) diingatkan supaya tidak melupakan peranan Barisan Nasional (BN) dalam pembentukan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, sayap parti tersebut mungkin terlupa bahawa tanpa sokongan BN, belum tentu mereka mampu membentuk kerajaan seperti hari ini.
“Jadi jangan sembang soal ‘kacang lupakan kulit’, kerana hakikatnya semua pihak tahu siapa yang membantu memastikan kestabilan politik selepas PRU lalu.
“DAPSY pun jangan cakap sahaja di media sosial, buktikan syor DAPSY supaya Parlimen dibubarkan segera disambut oleh pemimpin kalian,” katanya dalam satu hantaran Facebook.
Muhamad Akmal turut mencabar DAPSY menarik sokongan daripada kerajaan negeri yang dibentuk bersama BN.
“Tarik sokongan di Perak. Tarik sokongan di Pahang. Kita lawan secara ‘gentleman’ dan serah kembali mandat kepada rakyat,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, UMNO Johor tidak perlu dipersoalkan apabila bercakap mengenai hasrat untuk bergerak solo kerana sejak awal tidak pernah wujud sebarang perjanjian bahawa BN wajib menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) atau PRU bersama Pakatan Harapan (PH).
Dalam masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu mengingatkan bahawa kerajaan yang dibentuk hari ini adalah demi kestabilan negara atas titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketika tiada gabungan mempunyai majoriti mudah.
“Itu realitinya. Jadi DAPSY, jangan nampak menggelabah sangatlah bila UMNO nak pergi solo, kerana itulah cadangan Pemuda kepada pemimpin kami sejak dari tahun lepas lagi dan pemimpin kami mendengar suara kami dan kita akan mulakan di Johor,” katanya.
Dalam hantaran sama, beliau turut mempersoalkan sama ada pemimpin DAP mendengar suara DAPSY, selain mendakwa DAP tidak berani menyahut cabaran untuk keluar daripada kerajaan negeri Melaka.
“Sekurangnya aku berani hantar surat peletakan jawatan,bukan satu tapi dua surat telah dihantar. Kamu?? Sembang jer lah.
“Kalau benar mahu menguji kekuatan, kita buka gelanggang. Bring it on!’ tegas Muhamad Akmal.



