BERMULA dengan membantu arwah abangnya mengusahakan bengkel membaiki motosikal di Seksyen 2, Shah Alam sekitar tahun 1978, perniagaan keluarga Mohd Bakri Che Din kini dikenali ramai menerusi Mecinda Racing Sdn Bhd.
Lebih empat dekad berlalu, perjalanan yang bermula daripada sebuah bengkel kecil itu kini berkembang menjadi antara nama kukuh dalam dunia jualan aksesori motosikal di ibu kota, sekali gus membuktikan bahawa pengalaman, ketekunan dan keberanian membuat keputusan mampu mengubah hala tuju sesebuah perniagaan.
Menurut Mohd Bakri atau mesra disapa Pak Su, titik perubahan paling besar dalam perjalanan perniagaan mereka berlaku apabila arwah abangnya mengambil keputusan untuk beralih daripada membaiki motosikal kepada menjual aksesori.
Keputusan itu pada awalnya bukan sesuatu yang mudah untuk diterima, apatah lagi ketika konsep menjual barangan motosikal di dalam kompleks beli-belah masih dianggap asing.
“Bengkel kami dulu memang menjadi tumpuan ramai terutama penuntut universiti berhampiran tetapi kami berdepan masalah pekerja. Akhirnya abang saya buat keputusan untuk berhenti baiki motosikal dan menumpukan perhatian kepada menjual barangan motosikal.
“Tetapi waktu itu saya masih tertanya-tanya, mana ada orang jual barang motor di dalam kompleks beli-belah? Namun, kami tetap mencuba dan mula berniaga di Pertama Kompleks sekitar tahun 1982,” katanya kepada Bisnes Sinar.

Mecinda Racing menawarkan pelbagai jenis aksesori motosikal termasuk produk daripada jenama antarabangsa. Foto: Rosli Talib
Langkah berani itu akhirnya membuka lembaran baharu kepada Mecinda Racing yang kini menawarkan pelbagai jenis aksesori motosikal termasuk produk jenama antarabangsa.
Menurut Mohd Bakri, antara faktor penting yang membantu perkembangan tersebut ialah sokongan daripada UDA Holdings Berhad (UDA) yang menyediakan ruang niaga di Pertama Kompleks.
Ujarnya, peranan UDA tidak terhad kepada penyediaan premis semata-mata, sebaliknya organisasi itu telah lama dikenali sebagai pemacu kepada pembangunan usahawan tempatan khususnya bumiputera.
Kepercayaan pelanggan
Bagi Mohd Bakri, peluang untuk berniaga di lokasi strategik seperti Pertama Kompleks memberi kelebihan besar dari segi aliran pelanggan dan pendedahan kepada pasaran yang lebih luas.
Buktinya, perniagaan yang pada awalnya bertumpu kepada satu lot kecil kini berkembang kepada enam lot premis yang merangkumi ruang jualan dan stor di lokasi sama.
Perkembangan itu bukan sahaja mencerminkan pertumbuhan perniagaan, malah menjadi simbol kepada kepercayaan pelanggan yang semakin meningkat terhadap jenama Mecinda Racing.
Ditanya bagaimana Mecinda Racing membina reputasi tersendiri dalam pasaran yang semakin kompetitif, Mohd Bakri berkata, kekuatan utama mereka terletak pada kepercayaan pelanggan yang dibina secara konsisten sejak sekian lama.
Menurutnya, perniagaan itu berkembang melalui saranan mulut ke mulut dalam kalangan pelanggan dan komuniti permotoran.

Pada usia 66 tahun, Mohd Bakri berharap legasi perniagaan keluarga itu dapat diteruskan oleh generasi seterusnya. Foto: Rosli Talib
“Berdasarkan pengalaman lebih 40 tahun dalam dunia motor, kami memberi nasihat kepada pelanggan dan dari situ kami membina kepercayaan,” katanya.
Tambah beliau, hubungan rapat dengan pelanggan antara aset paling berharga yang tidak boleh digantikan dengan strategi pemasaran moden semata-mata.
Bagi memastikan perniagaan terus kekal relevan dan berdaya saing, Mecinda Racing juga tidak ketinggalan mengikuti perkembangan semasa industri.
Mohd Bakri berkata, hampir setiap tahun beliau akan menghadiri pameran motosikal antarabangsa di negara seperti Itali dan Jepun bagi mendapatkan pendedahan terhadap trend terkini.
Kini, pada usia 66 tahun, beliau melihat perniagaan yang dibangunkan bersama keluarganya itu sebagai satu legasi yang perlu diteruskan.
Katanya, penglibatan generasi kedua dan ketiga dalam menguruskan perniagaan memberi nafas baharu kepada Mecinda Racing, sekali gus memastikan kesinambu-ngan perniagaan pada masa depan.



