sukan@hmetro.com.my
Subang: Bermula sekadar mengikut ajakan rakan, Wan Nur Anissa Wan Nazri kini mampu tersenyum lebar selepas minat terhadap sukan menembak membawanya bergelar juara Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Penembak Terengganu itu meraih emas acara 25 meter pistol wanita individu selepas mengumpul 16 mata untuk mengatasi wakil Selangor, Halina Izreen Hasli Izwan yang meraih perak dengan 14 mata, manakala Saqyyeda Khadeeja Mohammad Anis Fadhli dari Pahang membawa pulang gangsa dengan 13 mata.
Lebih manis, kemenangan itu hadir selepas Anissa meletakkan emas sebagai sasaran utama sejak awal kerana acara berkenaan adalah kegemarannya.
“Saya gembira sangat sebab memang sasaran saya adalah emas untuk acara ini. Ini acara kegemaran saya dan dari awal memang saya sasar emas.
“Saya sudah bersedia dari segi mental 100 peratus dan memberikan segala-galanya. Tetapi saya tidak sangka juga boleh menang kerana sebelum ini ada banyak cabaran, terutama untuk membahagikan masa antara latihan dan sekolah,” katanya di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang, hari ini.
Anissa mengakui perbezaan utama berbanding penampilannya pada SUKMA 2024 adalah semangat yang lebih besar untuk menghadiahkan emas kepada Terengganu.
“Saya rasa saya buat perkara yang sama sahaja. Cuma kali ini semangat saya lebih besar daripada dua tahun lalu kerana saya betul-betul mahu beri emas kepada Terengganu,” katanya.
Menariknya, atlet berusia 18 tahun itu tidak mempunyai latar belakang keluarga dalam bidang ketenteraan atau kepolisan, malah penglibatannya dalam sukan berkenaan bermula secara tidak sengaja selepas dipelawa seorang rakan.
“Saya mula masuk menembak ketika umur 14 tahun. Kawan yang ajak sebenarnya. Mula-mula saya tidak berapa minat, tetapi lama-lama ia jadi hobi dan saya sudah terbiasa dengan menembak sampai ke tahap ini,” katanya.
Anissa yang berasal daripada keluarga sederhana berkata, kos penyertaan dalam program menembak Terengganu tidak menjadi halangan kepadanya untuk meneruskan minat yang pada awalnya sekadar suka-suka itu.
Kejayaan individu itu bagaimanapun tidak dapat diteruskan dalam acara berpasukan apabila Pahang mengungguli saingan dengan 1,685 mata menerusi gandingan Sayyeda Khadeeja, Damia Hani Mohamad Sakran dan Wan Nur Afiqah Wan Mohd Haneef.
Selangor meraih perak dengan 1,608 mata, manakala Terengganu membawa pulang gangsa selepas mengumpul 1,549 mata menerusi Anissa, Nureen Aisya Azahari dan Farisya Mohd Fadzli Azri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




