Dari jaringan ke ejan hartanah, cara pemain Kanada raikan jaringan curi tumpuan

Dari jaringan ke ejan hartanah, cara pemain Kanada raikan jaringan curi tumpuan

Kanada: Kebanyakan pemain akan mencium lencana atau menunjuk ke langit selepas menjaringkan gol, namun pemain Kanada, Tomasz Skublak melakukan sesuatu yang berbeza apabila mengeluarkan kad bisnesnya.

Penyerang Inter Toronto itu, yang turut bekerja sebagai ejen hartanah ketika tidak beraksi dalam Liga Perdana Kanada, menjadikan sambutan golnya sebagai peluang pemasaran ketika kemenangan 4-1 ke atas juara bertahan, Atletico Ottawa, Jumaat lalu.

Selepas separuh masa pertama tanpa jaringan, Skublak membuka tirai gol lima minit selepas babak kedua bermula apabila bola jauh dihantar melepasi pertahanan sebelum dia menyudahkannya menewaskan penjaga gol.

Dia kemudian menurunkan stoking, mengeluarkan kad bisnes untuk ditunjukkan kepada kamera dan mengangkat tangan seperti membuat panggilan, seolah-olah mengajak penonton menghubunginya bagi urusan hartanah di Ontario.

“Saya pemain sepenuh masa di Inter Toronto dan pada masa sama ejen hartanah sepenuh masa. Saya fikir, saya menghabiskan banyak wang untuk pemasaran di luar bola sepak, jadi ini peluang untuk dapat promosi percuma,” katanya seperti dipetik One Soccer.

Penyerang tengah berusia 28 tahun itu kemudian menambah satu lagi gol lima minit selepas itu bagi membantu Toronto naik ke tangga kedua liga.

Skublak kini mendahului senarai penjaring terbanyak Liga Perdana Kanada musim ini, satu pencapaian menarik memandangkan jadual hariannya yang padat.

“Selepas latihan tamat, saya terus berhubung dengan pelanggan. Ia mencabar, tetapi saya dapat menguruskannya dengan baik,” katanya dalam temu bual bersama laman rasmi liga bulan lalu.

“Rutin saya biasanya latihan sehingga 11 pagi atau 12 tengah hari, makan tengah hari bersama pasukan pada 12.30, kemudian saya bersama pelanggan dari jam 1 petang hingga 9 malam – begitulah hari saya.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top