lokman.khairi@hmetro.com.my
Lumut: Biarpun memiliki kerjaya gah sebagai juruterbang pesawat, Muhammad Afiq Shaid dari Teluk Rubiah, di sini, turut menyinsing lengan melaksanakan pertanian demi menyokong agenda sekuriti makanan.
Muhammad Afiq, 37, berkata, minatnya terhadap bidang pertanian bermula selepas kehilangan pekerjaan sebagai juruterbang ketika pandemik Covid-19 pada 2020.
Menurutnya, sebelum itu dia sudah berkhidmat sebagai juruterbang sejak 2011.
Katanya, ketika hilang pekerjaan dia mencari alternatif lain untuk menjana pendapatan dan memilih tanaman cendawan tiram kerana sesuai diusahakan di kawasan kebun kelapa sawit milik keluarganya di Teluk Rubiah.
“Saya memang minat pertanian, tetapi tidak mempunyai tanah lapang untuk bercucuk tanam seperti sayur atau terung.
“Di belakang rumah ayah ada kawasan kelapa sawit dan suasananya lebih sejuk, jadi saya fikir cendawan paling sesuai diusahakan di situ,” katanya.
Muhammad Afiq berkata, pada peringkat awal dia tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam tanaman cendawan sebelum mengikuti kursus persendirian dengan pengusaha lain serta latihan anjuran Jabatan Pertanian Perak.
Katanya, dia memulakan perusahaan secara kecil-kecilan dengan membeli kira-kira 2,000 bongkah cendawan daripada seorang pengusaha luar, namun mendakwa ditipu sebelum membeli semula 6,000 bongkah daripada pengusaha lain dari Terengganu.
“Sementara menunggu hasil cendawan sendiri, saya beli cendawan daripada orang lain untuk dijual semula.
“Ketika mula-mula dulu, hasil tuaian sekitar 10 hingga 15 kilogram (kg) sehari sebelum meningkat sedikit demi sedikit,” katanya.
Katanya, selepas mula menunjukkan kesungguhan dalam bidang itu, dia menerima bantuan daripada Jabatan Pertanian Perak termasuk mesin pemprosesan medium habuk kayu kepada bongkah, pam air dan khidmat nasihat teknikal.
Katanya, pada 2021 dia turut menerima geran bernilai RM20,000 daripada Jabatan Pertanian Perak dalam bentuk mesin dan peralatan pertanian.
“Selepas dapat bantuan itu, hasil tuaian bertambah sebab saya sudah boleh buat bongkah sendiri.
“Sekarang saya ada enam rumah cendawan dengan anggaran 60,000 bongkah yang dihasilkan sendiri dan hasil tuaian meningkat kepada 250 hingga 300 kg sehari ,” katanya.
Beliau berkata, bantuan itu membuktikan komitmen Jabatan Pertanian Perak selaku agensi peneraju flagship Lembah Bakul Makanan (Keterjaminan Makanan) seperti digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan idea Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Muhammad Afiq berkata, hasil cendawan yang diusahakannya kini dipasarkan ke beberapa lokasi termasuk pasar, kedai makan, pasar raya dan pemborong di Kuala Lumpur serta Perak membolehkannya menjana pendapatan tambahan sekitar empat angka setiap bulan.
Muhammad Afiq berkata, walaupun kembali bertugas sebagai juruterbang sejak awal 2021, operasi kebun cendawannya kini dibantu ibu serta beberapa pekerja.
Menurutnya, selain tanaman cendawan, dia turut mengusahakan ternakan ayam kampung, ayam telur serta tanaman sayuran dan buah-buahan di kawasan sama.
Katanya, sisa bongkah cendawan pula dikitar semula menjadi baja organik untuk menyuburkan tanaman lain.
“Habuk kayu daripada bongkah terpakai saya guna semula sebagai baja. Hasil buah jadi lebih baik, buah lebih manis dan sayur lebih sihat.
“Perancangan saya selepas ini ialah menjadikan kawasan kebun ini sebagai tempat pendidikan kepada masyarakat mengenai keterjaminan makanan dan galakan menanam makanan sendiri di rumah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




