Dasar rasmi DBR beri garis panduan lebih jelas

Putrajaya: Pekeliling Perkhidmatan mengenai dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bertarikh 21 Disember lalu, membolehkan kerajaan atau Ketua Jabatan mengarahkan BDR dilaksanakan.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, dasar itu sudah dipersetujui oleh Jemaah Menteri.
Katanya, berbeza dengan arahan sebelum ini yang dikeluarkan secara ad hoc melalui Surat Edaran, pekeliling ini menjadi dasar yang rasmi.
“Pekeliling Perkhidmatan ini memberikan garis panduan yang lebih jelas. Kuasa juga diturunkan kepada Ketua Jabatan untuk mengarahkan BDR,” katanya kepada BH, hari ini.
Bagaimanapun, Mohd Khairul Adib berkata, pelaksanaan dasar itu bergantung kepada kes tertentu saja.
Sebagai contoh, katanya, Ketua Jabatan boleh mengarahkan BDR dilaksanakan jika bangunan pejabat terbabit perlu menjalani proses sanitasi, tanpa merujuk terlebih dahulu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam.
Selain itu, dalam keadaan musim banjir seperti sekarang, beliau berkata, arahan pelaksanaan BDR boleh dikeluarkan Ketua Jabatan jika pejabat turut terjejas dan dinaiki air.
“Tetapi, jika rumah pegawai yang dilanda banjir, mereka perlu memohon cuti kecemasan. Pekeliling Perkhidmatan ini hanya untuk urusan rasmi, bukan peribadi,” katanya.
Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan yang dikeluarkan pada 21 Disember itu, ia bertujuan untuk melaksanakan keputusan Kerajaan berkaitan dasar BDR bagi pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan.
Ia berikutan, Perintah Am 5 Bab G Tahun 1974 mengenai Waktu Bekerja dan Lebih Masa memperuntukkan bahawa semua pegawai yang bekerja waktu pejabat, termasuk Ketua-ketua Jabatan sendiri, perlu mematuhi waktu bekerja dan hadir di pejabat dalam masa yang ditetapkan.
Bagi pegawai yang mengikuti Waktu Bekerja Bukan Pejabat pula, mereka dikehendaki hadir bekerja di suatu tempat bekerja yang ditentukan meliputi satu masa bekerja atau giliran bekerja.
Pekeliling Perkhidmatan itu menyebut, Kerajaan sudah bersetuju untuk mewujudkan dasar BDR sebagai alternatif cara bekerja baharu dalam perkhidmatan awam sebagai usaha berterusan penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan awam dan keperluan mengimbangi keperluan tugas dan kesejahteraan pegawai.
Dokumen itu turut memperincikan penafsiran, peraturan, pemakaian, dan tarikh kuatkuasa bermula 1 Januari 2021.
Dengan pengedaran Pekeliling Perkhidmatan ini, semua kelulusan khas berkaitan BDR sebelum ini terbatal.
Penularan wabak COVID-19 yang melanda negara sejak akhir Januari tahun lalu serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu membawa perubahan kepada urusan termasuk di pejabat kerajaan serta sektor awam, antaranya pengenalan BDR kepada tenaga kerja sedia ada.

Sumber – Berita Harian

Malay News
National Desk