Datuk antara direman kemuka tuntutan palsu RM48,000

Datuk antara direman kemuka tuntutan palsu RM48,000

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan reman tiga individu kerana disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butir palsu bagi tender pembekalan makanan pada 2020.

Kesemua suspek termasuk seorang pengarah urusan syarikat bergelar Datuk dipercayai membuat tuntutan berjumlah RM48,000 untuk tender makanan kepada agensi pasukan keselamatan negara.

Perintah reman selama dua hari sehingga esok, ke atas dua suspek lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 50an dikeluarkan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah selepas mendapat permohonan SPRM.

Menurut sumber, kesemua suspek ditahan antara jam 4 hingga 5 petang semalam, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah.

“Suspek utama disyaki melakukan perbuatan itu antara 2020 hingga 2023 membabitkan tuntutan pembekalan makanan mentah, basah dan kering kepada pasukan keselamatan negara yang menjalankan penugasan kawalan di pos barisan hadapan.

“Turut ditahan dua kakitangan syarikat pembekal yang disyaki bersubahat dengan suspek utama dalam menyediakan dan mengemukakan dokumen tuntutan yang dipercayai tiada pembekalan dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Ahmad Nizam Ismail ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top