Datuk Aznil Nawawi berhasrat menaja yang memerlukan vaksin Covid-19

Kuala Lumpur: Pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi bercadang mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dengan segera dan akan membayar kosnya tanpa perlu menunggu giliran.

Aznil berkata, memandangkan orang ramai perlu menunggu dalam tempoh lima hingga 10 bulan untuk mendapatkan vaksin itu secara percuma, dia sebaliknya ingin berusaha alternatif lain.

“Pemberian vaksin itu secara percuma dan berperingkat-peringkat. Keutamaan akan diberikan kepada warga tua dan petugas barisan hadapan. Yang lain perlu mendaftar secara dalam talian dan tunggu giliran. Mungkin lima hingga 10 bulan akan datang.

“Namun, mungkin ada juga peluang untuk dapatkan vaksin dengan cepat dan tak perlu tunggu giliran dengan sedikit bayaran. Saya ingat nak ambil yang berbayar. Ada sesiapa yang nak ‘join’ saya? Saya akan taja, tapi taklah ramai sebab harga pun tak tahu lagi,” katanya menerusi Instagram.

Perkongsian Aznil atau lebih mesra disapa sebagai Paknil di Instagram mendapat maklum balas positif daripada pengikutnya.

Rata-rata memuji tajaan vaksin Covid-19 yang ingin diberikan Paknil dan berharap ia diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Terdahulu Harian Metro melaporkan Malaysia akan menerima secara pukal 14 juta dos CoronaVac, vaksin Covid-19 daripada pembekal Sinovac Lifesciences Co Ltd bermula Mac ini.

Ia akan diproses ‘fill and finish’ secara berperingkat oleh Pharmaniaga Berhad bagi Program Vaksinasi Negara dan diedarkan secara percuma.

Menerusi laporan itu, rakyat Malaysia juga tidak perlu bimbang kerana formula vaksin terbabit terbukti selamat melalui ujian klinikal dan tiada signifikan perbezaan daripada vaksin sedia ada.

Sumber: My Metro