Datuk Bandar, YDP PBT boleh keluarkan kompaun

Datuk Bandar, YDP PBT boleh keluarkan kompaun

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Datuk Bandar, Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pegawai Penguatkuasa PBT Gred 19 ke atas diberikan kuasa mengeluarkan kompaun, mulai hari ini susulan berlaku ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kuasa yang diberikan itu bertujuan supaya PBT dapat mengambil tindakan secara terus atas ketidakpatuhan SOP yang berlaku serta kesalahan lain mengikut Akta 342.

Katanya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerima beberapa aduan orang ramai mengenai ketidakpatuhan SOP di beberapa bazar Ramadan di seluruh negara dan perkara itu dipandang serius kerana penulauran COVID-19 masih berada di tahap membimbangkan.

“Sehubungan itu, PBT digesa supaya mengambil tindakan sewajarnya dalam memastikan pelaksanaan SOP yang dikeluarkan oleh MKN dan Kementerian Kesihatan (KKM) dipatuhi sepenuhnya.

“Berkuat kuasa hari ini (14 April), KKM menurunkan kuasa memberi kompaun kepada Datuk Bandar, Yang Dipertua PBT dan Pegawai Penguatkuasa PBT Gred 19 ke atas untuk mengkompaun apa-apa kesalahan mengikut Akta 342,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, kuasa mengeluarkan kompaun juga diberikan kepada tiga pihak terbabit atas kesalahan ketidak patuhan SOP di bazar-bazar Ramadan.

Dalam pada itu, orang ramai juga diminta memberi kerjasama kepada pihak berkuasa tempatan dalam membantu negara melandaikan lengkuk penularan wabak COVID-19.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top