Oh! Artis
Datuk Red dan syarikatnya diarahkan membayar RM1.4 juta kepada 17 pembeli tanah selepas tewas dalam saman sivil.
Datuk Seri Adenan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red berdepan keputusan mahkamah selepas 17 pembeli tanah berjaya dalam saman sivil membabitkan urusan penjualan lot tanah.
Mahkamah Sesyen memerintahkan Datuk Red, ADN Properties Sdn Bhd dan Hasmy Abu Hassan membayar semula jumlah belian keseluruhan RM1.4 juta kepada semua plaintif terbabit.
Hakim Siti Fatimah Talib menetapkan bayaran itu perlu dibuat secara bersama atau berasingan oleh kesemua defendan.
Datuk Red turut diarah bayar ganti rugi teladan

Datuk Red dan ADN Properties turut diperintahkan membayar ganti rugi teladan berjumlah RM170,000 kepada 17 pembeli berkenaan. Bagaimanapun, semua defendan termasuk Datuk Red tidak hadir ketika prosiding berlangsung.
Kes ini berkaitan dakwaan pembeli diperdaya dalam urusan penjualan lot tanah di Sungai Semungkis, Hulu Langat, Selangor kira-kira tujuh tahun lalu.
Mahkamah dimaklumkan ADN Properties pernah menandatangani perjanjian jual beli induk dengan Hasmy bagi mendapatkan tanah bernilai RM1.8 juta.
Namun, hak milik tanah tersebut tidak pernah dipindahkan kepada ADN Properties, manakala harga belian induk pula tidak dijelaskan sepenuhnya.
Mahkamah mendapati pembeli tidak dimaklumkan bahawa ADN bukan pemilik berdaftar, bayaran tanah induk belum selesai serta urusan pusaka dan kelulusan tanah masih belum sempurna.
Datuk Red dianggap pelaku aktif

Menurut penghakiman, Datuk Red bukan sekadar dipertanggungjawabkan kerana kedudukannya sebagai pengarah syarikat.
Mahkamah mendapati beliau merupakan individu yang mengawal operasi ADN dalam urusan tersebut, termasuk menandatangani perjanjian jual beli dan meneruskan penjualan lot walaupun mengetahui urusan hak milik belum disempurnakan.
Beliau ialah pelaku aktif yang mengawal ADN, menandatangani perjanjian jual beli, mengetahui hak milik dan pembayaran induk belum sempurna, terus menjual lot dan tidak memulangkan wang yang diterima dari plaintif.- Katanya.
Wang diterima, lot gagal diserahkan

Mahkamah turut mendapati ADN Properties melakukan kemungkiran asas selepas menerima bayaran penuh daripada pembeli tetapi gagal menyerahkan hak terhadap lot yang dijanjikan.
Syarikat itu juga didapati tidak memulangkan semula wang yang telah diterima walaupun tujuan utama kontrak gagal dilaksanakan.
Mahkamah memutuskan keadaan itu memberi hak kepada plaintif untuk menamatkan transaksi dan mendapatkan semula harga belian mereka. Kesemua plaintif diwakili peguam Bhavanash Sharma daripada Tetuan Bhavanash Sharma.
Kongsikan artikel ini
Kongsikan artikel ini jika anda rasa lebih ramai patut mengetahuinya.
BULETIN OH! MEDIA
Baca Yang Paling Best Je.
Berita terbaik terus ke e-mel anda setiap malam. Percuma!
Pautan artikel telah disalin.
Hafizal adalah penulis sepenuh masa di Oh! Media yang sentiasa hadir menemani anda, terutama di saat-saat lewat malam. Untuk mendapatkan berita terkini dan cerita viral, jangan lupa cari nama Hafizal—sentiasa ada untuk menghibur dan menginformasikan anda!




