Datuk Red mohon maaf pada Adira

Datuk Red mohon maaf pada Adira

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Bekas suami kepada penyanyi Adira Suhaimi, Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red, membuat permohonan maaf secara terbuka melalui sebuah hantaran video di TikTok hari ini.

Menerusi hantaran itu, Adnan menyatakan hasrat murninya untuk menjernihkan semula hubungan yang sebelum ini dilaporkan tegang ekoran beberapa kenyataan yang dikeluarkan di media sosial.

Dia mengakui terdapat keterlanjuran kata-kata yang mungkin mengguris perasaan bekas isterinya serta pihak-pihak terbabit.

“Video ini ditujukan khas kepada bekas isteri saya, Siti Adira binti Suhaimi dan pihak peguamnya. Ini adalah permohonan maaf ikhlas daripada saya atas segala keterlanjuran saya di media sosial, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung,” katanya dalam video berdurasi 52 saat itu.

Selain memohon kemaafan, Adnan turut menyatakan harapan agar segala perselisihan faham dan perbalahan antara mereka dapat dihentikan segera demi kebaikan bersama, terutamanya bagi memudahkan urusan penjagaan anak-anak mereka.

Adnan menyuarakan kesediaan untuk berbincang secara matang mengenai cara terbaik untuk membesarkan cahaya mata mereka walaupun kini masing-masing membawa haluan sendiri.

“Saya memohon maaf dengan tulus ikhlas. Saya berharap agar dengan permohonan maaf ini, perbalahan kita dapat ditamatkan dan kita boleh berunding mengenai cara terbaik untuk membesar serta menjaga anak-anak mengikut haluan masing-masing,” katanya.

Video berkenaan mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya mendoakan agar urusan kedua-dua pihak dipermudahkan demi keharmonian keluarga.

Terdahulu, Adira meluahkan rasa terkilan dengan tindakan Adnan yang didakwa meletakkan syarat bagi menyelesaikan kemelut kes rujuk mereka.

Adira mendedahkan usahawan itu meminta bayaran sebanyak RM100,000 sebagai salah satu syarat untuk membatalkan kes selain menggugurkan kes saman sivil berkaitan tuntutan hutang.

Adnan bagaimanapun menyangkal dakwaan itu dan menegaskan tidak pernah membuat sebarang tawaran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top