Datuk Seri dalang aktiviti penyeludupan

Datuk Seri dalang aktiviti penyeludupan

am@hmetro.com.my

Tumpat: Aktiviti penyeludupan karkas babi ke negara ini didakwa didalangi seorang individu bergelar Datuk Seri.

Penduduk tempatan yang enggan dikenali berkata, kebanyakan lori yang digunakan untuk mengangkut barangan berkenaan adalah dari luar negeri ini.

“Lori-lori ini bernombor pendaftaran luar Kelantan, mereka sering masuk ke kawasan ini, nak cam (kenal) mereka senang saja, kalau nampak lori (bonded) macam bawa ais, sah mereka bawa (karkas) babi.

“Kalau dulu mereka guna pikap dan tutup dengan kanvas, tetapi air dari karkas meleleh menyebabkan mereka mula menukar kaedah untuk pengangkutan.

“Kadang-kadang memang rasa rimas dan takut juga sebab takut mengganggu aktiviti penduduk tempatan. Kami hanya bawa masuk beras dengan bunga api sahaja, tetapi mereka ini bawa masuk produk makanan mentah,” katanya.

Menurutnya, kegiatan licik sindiket itu juga dilihat ‘kebal’ kerana jarang ditahan dan mereka seolah-olah tahu jadual pihak berkuasa dan agensi keselamatan bertugas.

“Tetapi ada juga yang dapat ditangkap kebanyakan pemandu orang Melayu. Mereka jarang ke sini kecuali untuk mengangkut barangan.

“Ada banyak yang tidak dapat saya dedahkan atasfaktor keselamatan, tetapi saya tahu siapa dalang kegiatan ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top