David Luiz kembali ke Brazil, sertai Flamengo

LONDON – Bekas pemain Arsenal, David Luiz akhirnya mengambil keputusan untuk berhijrah ke Brazil bagi melengkapkan perpindahannya ke kelab Flamengo.

Pengumuman sebagai pemain Flamengo akan diumumkan tidak lama lagi, dedah pakar perpindahan bola sepak dunia, Fabrizio Romano.

Pada Jun lalu, Luiz memilih tidak menerima tawaran Arsenal untuk tawaran kontrak baharu seterusnya menamatkan dua musim di kelab utara London itu.

Bekas pertahanan tengah Chelsea itu berdepan kesukaran bersama Gunners apabila bergelut untuk konsisten sebelum terlepas penamat musim kerana kecederaan.

Luiz, 34, membantu skuad kendalian Mikel Arteta menang Piala FA pada 2020 dan memberikan ucapan penuh emosi kepada rakan sepasukan sebelum perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris. – Agensi