Bersedia dengan belanja tambahan bela haiwan peliharaan

Bersedia dengan belanja tambahan bela haiwan peliharaan

amir_hamid@mediaprima.com.my

MEMELIHARA haiwan peliharaan sering dikaitkan dengan kegembiraan apabila melihat telatah comel yang mencuit hati.

Tidak hairanlah ramai sanggup membelanjakan wang dan meluangkan masa demi memastikan haiwan kesayangan hidup dalam keadaan selesa.

Namun, di sebalik momen indah itu, tidak semua menyedari bahawa memelihara haiwan sebenarnya datang bersama tanggungjawab yang besar, terutama dari sudut kewangan.

Kos penjagaan yang semakin meningkat menyebabkan ada pemilik terpaksa menyusun semula perbelanjaan demi memastikan keperluan haiwan peliharaan terus dipenuhi.

Perbelanjaan paling asas sudah tentu membabitkan makanan.

Pemilik perlu memastikan haiwan menerima makanan yang sesuai dengan umur, saiz dan keadaan kesihatannya bagi mengelakkan risiko penyakit akibat pemakanan tidak seimbang.

Selain makanan utama, sesetengah haiwan memerlukan makanan tambahan atau snek sebagai ganjaran ketika latihan, sekali gus menambah kos penjagaan bulanan.

Air minuman juga tidak boleh dipandang ringan. Bekalan air bersih perlu sentiasa tersedia kerana pengambilan air yang mencukupi penting untuk kesihatan organ dalaman dan mengurangkan risiko dehidrasi.

Tempat tinggal haiwan turut memerlukan perhatian. Sama ada dipelihara di dalam rumah, sangkar atau kandang khas, ruang itu perlu bersih, selesa dan selamat agar haiwan tidak mudah mengalami tekanan atau kecederaan.

Bagi sesetengah spesies, pemilik perlu menyediakan peralatan tambahan seperti sistem pencahayaan, kawalan suhu, penapis air atau kelengkapan khas yang perlu diselenggara secara berkala.

Tidak kurang penting ialah aspek kebersihan. Keperluan seperti pasir untuk kesayangan membuang najis, alas sangkar, syampu, peralatan dandanan dan bahan pencuci menjadi antara perbelanjaan rutin yang perlu diambil kira.

Ramai juga mula memberi perhatian terhadap kesejahteraan emosi haiwan.

Haiwan yang terlalu lama bersendirian atau kurang rangsangan boleh menunjukkan perubahan tingkah laku seperti menjadi agresif, murung atau merosakkan barangan di rumah.

Justeru, pemilik biasanya menyediakan pelbagai permainan, ruang aktiviti dan meluangkan masa berinteraksi dengan haiwan bagi memastikan ia kekal aktif dari segi fizikal dan mental.

Cabaran yang sering membimbangkan pemilik pula ialah apabila haiwan jatuh sakit. Kos mendapatkan rawatan veterinar, pemeriksaan kesihatan, ubat-ubatan serta prosedur tertentu boleh menjadi beban sekiranya tidak dirancang lebih awal.

Atas sebab itu, ramai pemilik memilih membawa haiwan menjalani pemeriksaan berkala sebagai langkah pencegahan kerana rawatan awal lazimnya lebih baik berbanding menunggu penyakit menjadi serius.

Bagi haiwan yang semakin berusia, komitmen penjagaan lazimnya meningkat.

Haiwan tua mungkin memerlukan diet khas, pemeriksaan kesihatan yang lebih kerap serta pemantauan rapi bagi memastikan kualiti hidupnya terus terpelihara.

Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, ada pemilik mengakui terpaksa mengurangkan perbelanjaan peribadi demi memastikan keperluan haiwan kesayangan tidak terabai.

Bagi mereka, haiwan bukan sekadar peliharaan, malah dianggap sebahagian daripada keluarga.

Walaupun memerlukan pengorbanan, ramai berpendapat setiap perbelanjaan itu berbaloi apabila melihat haiwan membesar dengan sihat, aktif dan mampu menemani keluarga selama bertahun-tahun.

Justeru, mereka yang berhasrat memelihara haiwan perlu membuat persediaan sewajarnya, bukan sahaja dari segi minat, malah kemampuan menyediakan penjagaan yang konsisten sepanjang hayat haiwan tersebut.

Hakikatnya, kasih sayang terhadap haiwan tidak diukur melalui keunikan spesies atau nilai harganya, tetapi melalui kesanggupan pemilik memikul tanggungjawab yang datang bersama keputusan untuk memeliharanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top