Dawai halus tersangkut punca letupan kecil

Dawai halus tersangkut punca letupan kecil

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bunyi letupan kecil membabitkan sebuah tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya, semalam, disahkan berpunca daripada seutas dawai halus yang tersangkut pada sistem bekalan kuasa.

Insiden berkenaan dilaporkan berlaku pada jam 7.18 malam ketika tren bernombor 57 berada di Stesen Taman Jaya menghala ke Putra Heights.

Rapid KL dalam kenyataan hari ini memaklumkan hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati dawai halus yang telah cair itu bukanlah sebahagian daripada komponen tren mahupun landasan.

“Dawai berkenaan dipercayai tersangkut pada sistem bekalan kuasa menyebabkan bunyi letupan kecil berkenaan,” katanya.

Susulan insiden itu, Rapid KL berkata, tren yang terbabit sudah dikeluarkan serta-merta daripada perkhidmatan sebagai langkah keselamatan.

“Semua penumpang diturunkan dengan selamat di stesen berikutnya sebelum meneruskan perjalanan menggunakan tren lain.

“Kami turut mengesahkan tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan operasi perkhidmatan di Laluan Kelana Jaya tidak terjejas serta beroperasi seperti biasa,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan awal oleh pasukan teknikal ke atas tren dan infrastruktur landasan di antara Stesen Universiti dan Stesen Taman Jaya juga mendapati tiada sebarang kerosakan manakala keadaan landasan disahkan selamat untuk operasi.

“Pemeriksaan terperinci turut diteruskan selepas tamat waktu operasi untuk pengesahan lanjut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top