DBKL keluar 19 kompaun terhadap 'ulat foto'

DBKL keluar 19 kompaun terhadap 'ulat foto'

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak 19 notis kompaun dikeluarkan kepada jurugambar jalanan atau ‘ulat foto’ warga tempatan yang didapati menjalankan perkhidmatan tanpa kebenaran dalam Op Lens: Ulat Foto di kawasan tumpuan awam di ibu kota, di sini, semalam.

Tindakan itu dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di

sekitar KLCC dan Pintasan Saloma, Jalan Ampang dan Jalan P.Ramlee pada 9 malam, semalam dalam usaha membanteras kegiatan itu.

DBKL berkata, operasi itu dilakukan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPN) yang turut membawa kepada rampasan 32 peralatan mengambil gambar termasuk telefon bimbit.

“Sejumlah 19 notis kompaun dikeluarkan kepada individu warga negara yang didapati menjalankan perkhidmatan tanpa kebenaran sekali gus membuat 32 sitaan ke atas pelbagai peralatan termasuk telefon bimbit termasuk 13 daripadanya membabitkan warga asing.

“Tindakan itu dilakukan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016,” katanya dalam hantaran dikongsikan di Facebook rasminya, hari ini.

Katanya, pihak PDRM dan JPN turut menjalankan pemeriksaan ke atas 32 individu membabitkan pemeriksaan dokumen pengenalan diri menerusi Akta Pendaftaran Negara 1959.

“Peralatan berkaitan aktiviti jurufoto yang disita membabitkan telefon bimbit, lampu, ‘gimbal’ dan peralatan lain dipindahkan ke Stor Sitaan DBKL untuk tindakan lanjut,” katanya.

DBKL komited memantau dan mengambil tindakan penguatkuasaan dari masa ke semasa bagi memastikan kawasan tumpuan kekal selamat daripada aktiviti perkhidmatan fotografi tanpa kebenaran.

Katanya, aktiviti itu menyalahi undang-undang, menimbulkan risiko keselamatan, kacau ganggu kepada pengunjung termasuk halangan dan kelancaran lalu lintas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top