De La Fuente bangga semangat pemain Sepanyol

De La Fuente bangga semangat pemain Sepanyol

East Rutherford: Amerika Syarikat: Ketua jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente memuji semangat kebersamaan anak buahnya selepas muncul juara Piala Dunia 2026 menerusi kemenangan 1-0 ke atas Argentina selepas masa tambahan pada aksi final, awal pagi tadi.

Pemain gantian separuh masa kedua, Ferran Torres muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-106 untuk menghadiahkan kejuaraan dunia kedua buat Sepanyol dan yang pertama sejak 2010.

“Saya amat berbangga. Bangga dengan generasi pemain bola sepak ini yang membesar dengan falsafah ini, terus berpegang teguh kepadanya dan memberikan yang terbaik.

“Mereka menjadi contoh sebuah pasukan, kumpulan dan keluarga yang terdiri daripada pemain hebat serta luar biasa.

“Saya amat berbangga kerana dapat menemani mereka dalam perjalanan ini.

“Berada bersama mereka sepanjang perjalanan ini merupakan satu penghormatan,” kata De la Fuente selepas perlawanan.

Kejayaan itu turut disusuli penguasaan Sepanyol dalam anugerah individu apabila kapten Rodri dinobat sebagai Pemain Terbaik Kejohanan, Pau Cubarsi dipilih sebagai Pemain Muda Terbaik manakala Unai Simon memenangi anugerah Sarung Tangan Emas selaku penjaga gol terbaik.

Sepanyol menamatkan kejohanan tanpa kalah dan hanya dibolosi sekali dalam lapan perlawanan.

De la Fuente berkata, anak buahnya sememangnya layak menerima segala pengiktirafan yang diraih hasil kerja keras sepanjang kempen kejohanan.

“Saya tidak mampu menggambarkan perasaan saya. Apa yang boleh saya katakan adalah segala usaha ini berbaloi.

“Sudah tentu saya sangat beremosi ketika ini, khususnya selepas menyaksikan segala-galanya yang berlaku di sebalik tabir.

“Saya banyak berbicara dengan pemain dan mereka berkata kepada saya, ‘Bos, kita sudah memenangi segala-galanya’, dan ia sesuatu yang menakjubkan.

“Generasi pemain ini menjadi contoh kepada sukan Sepanyol dan golongan muda negara ini.

“Bersama-sama, kami jauh lebih kuat dan sebab itulah kami tidak melupakan sesiapa pun,” katanya.

Walaupun menguasai permainan dan lebih berbahaya ketika menyerang, Sepanyol beberapa kali dinafikan penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez yang melakukan 11 aksi penyelamat sepanjang perlawanan.

“Sudah tentu kami mahu memastikan kemenangan lebih awal.

“Kami terus mencuba untuk menjaringkan gol, namun tidak berjaya. Bagaimanapun, ini final Piala Dunia dan walaupun berdepan 10 pemain pada hujung perlawanan, kami tetap perlu melalui detik sukar.

“Namun kami gemar berdepan kesukaran dan seperti yang saya katakan, kami sudah bersedia menghadapi apa-apa sahaja,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top