Defisit dua gol bukan penamat buat DPMM

Defisit dua gol bukan penamat buat DPMM

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Brunei DPMM FC percaya peluang untuk mara ke separuh akhir Piala Malaysia belum tertutup sepenuhnya biarpun tumbang 1-3 dalam aksi suku akhir pertama di tangan Kuching City FC di Bandar Seri Bagawan, minggu lalu.

Sebaliknya, bekas juara Piala Malaysia musim 1999 itu optimis defisit itu boleh dipadamkan apabila bertandang di Stadium Negeri di Kuching, malam esok.

Menurut penjaga gol pasukan yang juga ketua pasukan, Haimie Nyaring, peluang DPMM FC di aksi timbal balik masih belum tertutup dan setiap pemain perlu perbaiki peranan masing-masing terutamanya di bahagian pertahanan dan serangan yang sering kali menjadi masalah kepada mereka.

“Saya masih rasa DPMM ada peluang besar untuk aksi kedua ini sebab prestasi kami sebelum ni pun bagus, cuma perlu lebih fokus dan disiplin di bahagian pertahanan dan serangan.

“Dari aksi pertama lagi, DPMM boleh belajar supaya lebih fokus daripada awal permainan dan kena kurangkan kesilapan mudah.

“Kepentingan untuk ada disiplin di bahagian pertahanan juga diperlukan selain komunikasi antara pemain yang harus lebih bagus agar kita selepas ini dapat penyudah yang lebih tajam”, katanya.

Untuk rekod, Brunei (kini dikenali DPMM FC) mencipta sejarah menjuarai Piala Malaysia 1999 selepas menewaskan Sarawak 2-1 di Stadium Merdeka, menjadikannya pasukan pertama dari Borneo yang memenangi trofi berprestij itu.

Dalam perkembangan sama, Haimie akui Kuching City cukup bahaya terutamanya rangkaian penyerang mereka.

“Mereka (Kuching City) sebenarnya memang laju, ada fizikal yang bagus dan penyusunan bola yang baik, jadi banyak benda yang kita kena buat untuk atasi kelebihan yang mereka ada,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top