
Majlis menandatangani LOI disempurnakan Mohd Suhaimi (duduk, kiri) dan Massila (duduk, kanan) dengan disaksikan oleh Mohammad Shanaz (berdiri, kiri) serta Zahriladha.
KERJASAMA antara industri dan akademia terus diperkukuh apabila DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (DEFTECH), menerusi anak syarikatnya, DEFTECH Unmanned Systems Sdn Bhd (DUS), memeterai surat hasrat (LOI) bersama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bagi memacu transformasi industri melalui teknologi kecerdasan buatan (AI).
Perjanjian tersebut dimeterai di reruai DEFTECH sempena Defence Services Asia 2026 (DSA 2026) yang berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Selasa.
Majlis menandatangani LOI itu disempurnakan Ketua Syarikat DUS, Dr Mohd Suhaimi Omar, dan Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin.
Ia turut disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif DEFTECH, Mohammad Shanaz Mohammad Shees serta Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTeM, Profesor Dr Zahriladha Zakaria.
Melalui kerjasama tersebut, kedua-dua pihak akan berkongsi kepakaran dalam kolaborasi industri bagi memperkasa pembuatan berasaskan AI, selain perkongsian sumber penyelidikan, data dan kemudahan, termasuk pelaksanaan program latihan serta penyelidikan.
Mohammad Shanaz berkata, kerjasama dengan institusi pengajian tinggi merupakan elemen penting dalam strategi jangka panjang DEFTECH bagi pembangunan keupayaan, pemindahan ilmu, inovasi gunaan serta pengukuhan ekosistem pertahanan negara.
Sementara itu, Massila berkata, kolaborasi berkenaan mencerminkan komitmen bersama dalam menterjemahkan hasil penyelidikan akademik kepada aplikasi praktikal, sekali gus memperkukuh peranan universiti dalam menyokong keperluan industri, transformasi digital negara dan pertumbuhan ekonomi mampan.
Sebagai perintis dalam sistem tanpa pemandu, DUS sebelum ini turut menjalin kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, termasuk menyumbang kepada pembangunan pesawat tanpa pemandu taktikal pertama Malaysia.



