Degil bersebab

Degil bersebab

georgie@hmetro.com.my

API semangat dalam diri pelakon berkaliber ini mengukuhkan nama sebagai pengarah pula kian membara. Liyana Jasmay, 37, sudah tetapkan hala tuju yang paling tepat dengan jiwanya dan rancak mengejarnya.

Liyana membawa harapan yang besar dalam lapangan pengarahan. Pemikirannya sudah termaktub untuk menguasai genre ‘young adult’ atau belia remaja kerana sangat menggemarinya.

Pernah merasai betapa luar biasanya fenomena cerita sebegitu pada awal 2000-an, genre keremajaan membawa nilai sentimental dalam dirinya. Tambahan pula dia sendiri meledak menerusi drama Kami pada 2008.

Dia sentiasa menyanjung produksi Red Communications (Red Comm) dan pengarah, Bernard Chauly yang memang antara pencetus penting era cerita keremajaan mulai digilai dulu.

“Tak banyak pengarah yang cemerlang dalam hasilkan cerita remaja perempuan. Dahulu ada Red Comm dan Bernard, tapi Bernard pun sudah tidak buat.

“Penyambung itu tiada. Saya harap dapat menjadi penyambung mereka kerana saya membesar dengan Red Comm, Kami dan semestinya jadikan mereka idol serta sebagai mentor.

“Jadi, semestinya saya bertekad lakukan ini. Ini adalah genre yang memang tepat dengan jiwa saya,” katanya yang kini sibuk arahkan drama remaja berjudul Putri & Phrince terbitan Viu untuk tayangan Ogos nanti.

Berpendirian teguh mahu mengarah naskhah keremajaan bukan bermakna Liyana mengehadkan skop kreativitinya. Dia tidak ingin tertumpu kepada subjek-subjek kebiasaan mengenai dunia remaja.

Sebaliknya, dia sentiasa membuka hatinya untuk meneroka lebih banyak genre lagi asalkan menampilkan watak remaja sebagai bintang utama. Dia memang tidak ingin lari daripada konsep itu.

“Saya memang berkeras untuk buat pasal keremajaan. Namun genre boleh apa sajalah. Berilah saya genre cinta, perang, seram, thriller, apa-apalah, saya takkan pergi jauh dari naskhah keremajaan,” katanya.

Liyana juga percaya pendirian sebegitu memang amat penting untuk mencipta identiti lagi-lagi kini memiliki syarikat produksinya sendiri Mermaid Studios. Dia tidak kisah dilabel ‘syok sendiri’.

Apabila mencipta identiti, bermakna karyanya akan lebih niche dan dia tidak bimbang hal itu. Hanya kepuasan berkarya yang dicarinya biarpun kelak karyanya tidak meriah pun.

Dia juga ingin memastikan untuk sentiasa hasilkan idea sendiri bersama kakaknya yang juga penerbit Adriana Jasmay. Lambat-laun, dia yakin mereka akan mampu cipta identiti cukup kukuh.

“Saya bukan syarikat kilang. Syarikat saya adalah syarikat butik. Setiap cerita yang saya buat semua idea saya. Saya mengupah penulis apabila idea saya itu datang dan penulis yang kerja dengan saya.

“Idea kena juga datang daripada saya dan kakak. Kenapa? Kerana itu adalah identiti. Tak kisahlah setahun kami dapat satu atau dua saja. Mungkin citarasa kami tidak akan sama dengan pihak penyiar berbeza,” katanya.

Liyana juga memegang prinsip segala yang diusahakannya harus datang ikhlas daripada hatinya. Dia tidak mahu melunaskan sesuatu projek kerana terpaksa dan dengan hati yang kosong.

Disebabkan itulah dia akui memang kena harus berdegil sebagai pengarah. Dia berdegil pun kerana bersebab di mana setiap karyanya yang dibuat dengan jujur dan penuh kesungguhan pasti bagus hasilnya.

“Saya pernah buang perasaan itu dan buat drama tertentu kerana stesen TV luluskan. Lama-lama hati saya kosong. Tapi sekarang saya lakukannya dengan hati yang sangat penuh.

“Tapi semestinya semua ini datang daripada minat kesungguhan juga. Kesungguhan itu yang akan menggerakkan kita. Kalau kita tak ada ‘api’ dalam diri kita, kita hanya jadi patung kan.

“Ya, saya memang pengarah yang degil. Itulah sebabnya hanya saya dan kakak saja bertindak sebagai penerbit dan bergaduh pun dengan dia. Tapi kalau bergaduh pun, saya buat yang terbaik,” katanya.

Drama Putri & Phrince arahannya menampilkan bakat-bakat muda yang kian menyinar dalam industri lakonan. Dia gembira melihat kesungguhan mereka berada di set penggambaran.

Bintang-bintang muda itu termasuk Nesa Idrus, Badron Munirah, Nik Rafaie, Farah Nadiah, Khayrisyah Kemal, dan Farihin Arnia. Turut membintanginya adalah Adriana Adnan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top