Aura bunga hiasan

Aura bunga hiasan

razis@mediaprima.com.my

GUBAHAN bunga antara hiasan yang boleh dijadikan pilihan untuk menambah seri dan menghidupkan sesuatu ruang.

Bentuk dan warna daripada bunga dapat memberi visual eksklusif serta estetika yang mampu menjadi tarikan dekorasi di dalam sebuah kediaman.

Dengan menggunakan bahan semula jadi yang berada di sekeliling kita, sebenarnya anda boleh menghasilkan sendiri bunga tiruan daripada bahan terbuang untuk menjadi hiasan yang unik dan menarik.

Antara bahan yang boleh digunakan tanpa perlu mengeluarkan kos yang tinggi adalah buah pinang, upih pinang, sabut kelapa dan tempurung kelapa.

Pengasas Attitude Planet Art (Apa Art), Fauzi Ab Majid berkata, bahan semula jadi yang dianggap sudah tidak berguna sebenarnya boleh dimanfaatkan untuk dijadikan sebagai bunga hiasan.

Katanya, bunga hiasan ini bukan sekadar boleh dijadikan sebagai dekorasi di kediaman, malah mampu menjana pendapatan yang lumayan kerana mendapat permintaan tinggi di pasaran.

“Bagi saya, penghasilan bunga hiasan daripada bahan semula jadi ini sesuai untuk dijadikan sebagai hiasan untuk dekorasi rumah kerana mempunyai karakter yang unik dan menarik.

“Peminat bunga hiasan ini bukan sekadar membeli untuk mencantikkan rumah, malah kebanyakan mereka tertarik dengan cerita di sebalik penghasilan produk ini yang diinspirasikan daripada sumber alam,” katanya yang mesra disapa Benji.

Berkongsi proses menghasilkan bunga hiasan Benji berkata, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah memastikan bahan semula jadi yang ingin digunakan mesti dalam keadaan masih segar atau separa kering supaya ia boleh bertahan lebih lama.

“Bahan ini diawet dengan menggunakan peluntur untuk mematikan kulat dan sel hidup. Selepas itu bahan dibilas dengan menggunakan air sebanyak dua kali sebelum dijemur di bawah cahaya matahari sehingga kering sepenuhnya.

“Kemudian, bahan dimasukkan ke dalam air mendidih yang dicampur dengan warna batik atau mengkuang.

“Apabila sudah sebati, bahan mentah dikeluarkan dan dijemur sehingga kering. Selepas itu, kita boleh menghasilkan rekaan bunga hiasan mengikut warna yang dicelur,” katanya.

Katanya, warna batik atau mengkuang lebih sesuai digunakan kerana ia menyerap ke dalam bahan semula jadi tanpa mematikan karakter bahan.

“Kita tidak mahu karakter yang ada pada bahan mentah seperti garisan dan corak ditutup sekiranya menggunakan teknik semburan dan akrilik.

“Keaslian bahan perlu dikekalkan kerana cerita, fungsi dan karakter amat penting untuk menangkap minda serta mata individu yang melihatnya,” katanya.

Menurutnya, proses menghasilkan bunga hiasan daripada bahan semula jadi ini tidak rumit dan boleh dihasilkan secara sendiri (DIY).

“Saya aktif berkongsi ilmu penghasilan bunga hiasan itu secara langsung di akaun TikTok apaart untuk memberi kesedaran kepada orang ramai untuk menghasilkan produk ini secara sendiri kerana ada dalam kalangan pengikut yang kurang berkemampuan.

“Selain berniaga, saya menggunakan platform ini hampir setiap hari untuk mengajar secara percuma bagaimana untuk menghasilkan bunga hiasan ini secara DIY. Alhamdulillah sehingga kini sudah ada beberapa orang dalam kalangan pengikut yang sudah mampu hasilkan sendiri.

“Cantik atau tidak itu perkara nombor dua, yang penting kita usaha untuk lakukan kerana lama kelamaan mahir dan cekap itu akan datang dengan sendirinya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top