ISTANBUL – Timbalan Menteri Luar Iran, Saeed Khatibzadeh mengesahkan pada Khamis yang satu delegasi dari Tehran akan berangkat ke Pakistan untuk mengadakan rundingan damai dengan Amerika Syarikat (AS), di tengah-tengah ketegangan berterusan susulan serangan maut Israel ke atas Lubnan, lapor Anadolu Ajansi yang memetik BBC Radio 4.
Bercakap dalam program Today di BBC Radio 4, Khatibzadeh berkata, Iran masih “memberi tumpuan untuk menjayakan perkara ini” kerana rundingan dengan AS adalah “dalam kepentingan nasional kami”. Beliau berkata “pertukaran mesej berulang” antara kedua-dua pihak berterusan sepanjang malam dengan Pakistan sebagai pengantara.
Khatibzadeh berkata, beliau difahamkan yang Naib Presiden AS, JD Vance, dijangka mengetuai delegasi AS manakala Yang Dipertua Parlimen Iran Mohammad Bagher Qalibaf, berkemungkinan mengetuai pasukan Iran.
Timbalan menteri luar itu menuduh Israel melakukan “pelanggaran serius” terhadap perjanjian gencatan senjata AS-Iran, sambil menegaskan yang Lubnan turut termasuk dalam perjanjian dua minggu itu.
“Anda tidak boleh meminta gencatan senjata… kemudian sekutu anda memulakan pembunuhan beramai-ramai,” katanya, sambil menegaskan yang Iran menghantar mesej yang “sangat jelas” kepada Rumah Putih.
Beliau berkata, AS “mesti memilih antara perang atau gencatan senjata”, sambil menegaskan kedua-duanya adalah “saling bercanggah”.
Khatibzadeh menyifatkan Hizbullah sebagai “gerakan pembebasan Lubnan” yang menerima sokongan Iran dan menegaskan kumpulan itu “mematuhi” syarat gencatan senjata.
Beliau berkata, Iran berharap semua pihak di rantau itu menghormati perjanjian berkenaan selain menggesa Washington memastikan sekutunya berbuat demikian.
Walaupun berlaku peningkatan ketegangan, Khatibzadeh memberi isyarat yang Tehran kekal komited terhadap diplomasi, dengan menyatakan Iran memberi tumpuan kepada “kesejahteraan seluruh Asia Barat” ketika rundingan diteruskan.
Dalam kenyataan berasingan, beliau berkata, Iran “hampir memberi tindak balas” terhadap pelanggaran gencatan senjata oleh Israel ke atas Lubnan, namun Pakistan campur tangan, menurut agensi berita separa rasmi Fars.
“Sebarang keamanan di rantau ini mesti melibatkan Lubnan dan beberapa jam akan datang amat kritikal,” katanya. – Bernama



