asmaini@mediaprima.com.my
SEBUT sahaja urologi, ramai yang menganggapnya sebagai masalah kesihatan yang hanya berkaitan dengan lelaki semata-mata.
Hakikatnya, urologi turut membabitkan diagnosis dan rawatan penyakit sistem urinari merangkumi lelaki dan wanita.
Malaysia ketika ini hanya memiliki kira-kira 160 pakar bedah urologi dan lebih menyedihkan, daripada jumlah itu kurang daripada 10 orang adalah wanita.
Harian Metro baru-baru ini berpeluang menemubual seorang daripada pakar wanita berkenaan, Dr Siti Nur Masyithah Ma’arof yang kini bertugas sebagai Pakar Perunding Urologi di Pusat Perubatan Ara Damansara, Selangor.
Menurut Dr Siti Nur Masyithah, selain minat yang mendalam terhadap bidang berkenaan, beliau juga menganggapnya sebagai satu tanggungjawab fardu kifayah.
Ibu kepada dua anak lelaki dari Klang, Selangor itu, mengakui tertarik dengan bidang urologi kerana ia membabitkan pelbagai teknik pembedahan, sama ada endoskopi, robot, laparoskopi atau penggunaan laser.
Katanya, bidang berkenaan juga sentiasa berkembang seiring evolusi teknologi perubatan moden, jadi ia tidak pernah membosankan.
“Setiap kes bagi saya adalah unik dan mencabar, itulah faktor mengapa saya sukakan bidang ini.
“Alhamdulillah, keluarga menyokong penuh cita-cita dan minat berkenaan kerana tanpa sokongan mereka, mustahil saya boleh sampai ke tahap hari ini.
“Kerjaya sebagai doktor memang menuntut masa yang panjang, lebih banyak masa dihabiskan di hospital berbanding di rumah dan mujurlah keluarga memahami bebanan kerja serta pengorbanan masa berkenaan, ” katanya.
Dr Siti Nur Masyithah berkata, beliau masih mengingati kes kecemasan membabitkan seorang pesakit wanita sekitar tengah malam pada tahun 2023, yang sebelum itu sihat tetapi tiba-tiba mengalami pendarahan teruk dari buah pinggang kirinya.
Kata beliau, keadaan itu memerlukan wanita terbabit dibedah segera kerana jika tidak, nyawanya akan terancam.
Pembedahan itu mengambil masa hampir empat jam dan pesakit berkenaan kemudiannya dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) untuk pemantauan serta rawatan lanjut.
“Pasukan kesihatan yang bertugas ketika itu, doktor dan jururawat di bahagian kecemasan, dewan bedah serta ICU berhempas pulas memastikan pesakit itu dapat diselamatkan.
“Dalam kes seperti itu, adalah mustahil untuk merawat pesakit seorang diri dan saya berterima kasih kepada semua yang terbabit.
“Alhamdulillah, wanita itu kini sihat sepenuhnya walaupun dengan hanya memiliki satu buah pinggang,” katanya.
Menyusuri pembabitan awalnya dalam bidang perubatan, Dr Siti Nur Masyithah berkata, selepas mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau diterima masuk ke program Asasi Sains Hayat di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM).
Keputusan cemerlang di peringkat asasi itu membolehkan beliau melanjutkan pelajaran peringkat Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) di Universiti Malaya (UM) sebelum menyambung pengajian Sarjana Pembedahan Am (MS) di universiti yang sama.
Demi merealisasikan impiannya bergelar pakar dalam bidang urologi, Dr Siti Nur Masyithah menyambung pengajian peringkat Ijazah Sub-Kepakaran dalam bidang urologi dan dianugerahkan kelayakan FRCS (Urology) oleh Royal College of Physicians and Surgeons of Glasgow, United Kingdom (UK).
Beliau turut menjalani Latihan Lanjutan Sub Kepakaran, Fellowship in Female & Functional Urology dan Fellowship in Endourology, masing-masing di Bristol, UK.
Segala penat lelah Dr Siti Nur Masyithah itu terbalas apabila beliau kini antara pakar tersohor dalam bidang kesihatan urologi di negara ini.
Bekas pensyarah di UM itu juga memiliki pengalaman lebih 16 tahun dalam bidang pendidikan termasuk mendidik pelajar perubatan, pergigian dan kejururawatan.
Di luar bilik bedah
Dr Siti Nur Masyithah turut aktif dalam menyampaikan ilmu kesihatan kepada masyarakat dan sering muncul di radio, televisyen, serta di media sosial seperti TikTok (@masyiurologist) dan Instagram (@masyithah_maarof).
Beliau turut menghasilkan pelbagai kandungan seperti ceramah kesihatan, video pendek dan info grafik berkaitan penyakit urologi dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran awam terutamanya berkenaan kepentingan saringan kesihatan dan masalah berkaitan.
Menurut beliau, mencegah lebih baik daripada merawat dan ia bukanlah sekadar slogan, tetapi keutamaan dalam amalan perubatan harian.
“Kesedaran adalah kunci kerana rawatan yang dimulakan di peringkat awal awal selalunya memberi peluang sembuh yang lebih baik.
“Ini kerana setiap penyakit ada penawarnya kecuali mati,” katanya yang mengakui ramai pesakit urologi wanita sebenarnya lebih selesa jika dirawat doktor perempuan.
Dalam pada itu, meskipun kebanyakan masa dihabiskan dengan tanggungjawab merawat pesakit di hospital, Dr Siti Nur Masyithah tetap mencuri masa untuk bersama-sama dengan keluarga serta melakukan hobi kegemarannya.
Akuinya, sebagai seorang ‘foodie’ beliau suka memasak dan pada masa sama, gigih mencari serta mencuba makanan viral.
Selain itu, beliau juga gemar ‘healing’ di pantai dan kawasan pulau, sambil menunggu matahari terbenam.
“Disebabkan itu juga, saya suka melancong dan destinasi impian saya ialah Turkiye dan Mykonos, Greece,” katanya yang mengakui meminati apa sahaja jenis muzium dan boleh menghabiskan masa seharian di situ.
Ketika ditanya idola dalam hidupnya, Dr Siti Nur Masyithah mengakui beliau menyanjung tinggi peranan ibu bapanya.
Meskipun bukan memiliki latar belakang bidang perubatan, namun kedua-dua orang tuanya itu banyak mengajarnya erti kerja keras, keikhlasan dan kesabaran.
“Semua nilai-nilai itulah yang saya bawa dalam kerjaya sehingga ke hari ini dalam melayan pesakit dengan rasa empati dan bekerja dengan penuh tanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, Dr Siti Nur Masyithah juga berharap lebih ramai doktor muda tertarik untuk mendalami bidang berkenaan memandangkan Malaysia memerlukan lebih banyak tenaga pakar urologi untuk menampung keperluan yang semakin meningkat, terutamanya di kawasan luar bandar.
Selain itu, beliau berharap rawatan urologi di negara ini akan terus berkembang selari dengan kemajuan teknologi perubatan semasa.
“Kempen kesedaran kesihatan urolugi juga perlu dijalankan secara lebih menyeluruh, bukan sahaja di radio dan televisyen, tetapi juga di tempat awam seperti pusat membeli-belah, universiti dan sekolah, sama ada di bandar mahupun luar bandar.
“Selain itu, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia juga boleh meneruskan usaha murni bersama hospital swasta untuk mewujudkan kerjasama bagi membolehkan pesakit yang sudah lama menunggu giliran di hospital awam dapat menjalani pembedahan di hospital swasta terpilih dengan kos perubatan yang lebih mesra pelanggan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




