Demikianlah PAS

Demikianlah PAS

ADA orang kata PAS jumud dan asobiyyah (kepuakan). PAS tak jumud malah sangat moderat dan terbuka. Cuma PAS tidak liberal dan ekstrem. PAS memilih wasatiyyah, kesederhanaan sesuai ajaran Islam. Tidak ketat ekstrem dan tidak longgar menjual prinsip.

PAS terlebih dahulu menerokai kerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat ketika Umno masih sangat membenci DAP. PAS terbuka membela Anwar yang terjerit terlolong berdemonstrasi mengadu dizalimi Umno semasa era reformasi. 

PAS mendahului menghulurkan tangan persahabatan dengan Umno ketika PKR, PAN dan DAP ingin sangat-sangat menguburkan Umno. Malah penubuhan PAN itu adalah manifestasi sebahagian orang PAS yang ekstrem tidak mahu dekat dengan Umno dulu kononnya. 

PAS juga bersedia berkawan dengan Tun Mahathir dan BERSATU bukan sahaja dengan Umno untuk melebarkan erti penyatuan bukan tertutup antara Umno dan PAS sahaja. Begitulah terbukanya PAS demi Melayu dan Islam. Jangan hanya terhenti untuk selamatkan individu sahaja.

Yang perlu dikaji ialah kenapa PAS tidak bersama Umno ketika Umno kuat? Kenapa seolah-olah beri nyawa pada Umno semasa semua orang lain ingin membunuhnya? Kenapa PAS tinggalkan DAP dan PKR ketika PR makin mendapat sokongan rakyat? Kajilah.

PAS ingin Melayu Islam terus menjadi tunjang kepimpinan negara bersama bangsa Cina, India, bumiputera dan lain-lain kaum yang tidak ekstrem. PAS perjuangkan Islam yang menjadi akar tunjang bangsa dan watan ini yang terbukti pada sejarahnya sangat toleran namun berprinsip. Bukan liberal, plural, Komunis, materialis mahupun perkauman, apa lagi yang ekstrem dari kalangan mereka. Demikianlah PAS.

USTAZ HAZMI DIBOK – HARAKAHDAILY 27/4/2023

Advertisement