WASHINGTON: Demokrat memenangi beberapa perlumbaan penting bagi kerusi Senat di North Carolina dan Georgia, namun masih belum jelas sama ada parti itu berjaya merampas penguasaan dewan berkenaan daripada Republikan pimpinan Presiden Donald Trump, dengan jutaan undi masih belum dikira dalam pilihan raya pertengahan penggal pada Selasa.
Lapor Reuters, ahli Senat daripada Parti Demokrat, Jon Ossoff disahkan memenangi persaingan Senat di Georgia, selepas menewaskan pencabarnya daripada Parti Republikan, Mike Collins.
Kemenangan Ossoff memberi kelebihan awal buat Parti Demokrat yang sedang berusaha merebut semula penguasaan Kongres daripada Parti Republikan pimpinan Presiden, Donald Trump.
Memuatkan artikel berkaitan…
Persaingan di Georgia yang sebelum ini diramalkan sengit akhirnya memihak kepada Ossoff susulan penurunan kadar sokongan awam terhadap pentadbiran Trump.
Di North Carolina, bekas Gabenor, Roy Cooper menewaskan calon Republikan, Michael Whatley yang disokong Trump dengan mudah untuk memenangi kerusi yang sebelum ini dikuasai Republikan, menurut unjuran media, sekali gus memberikan Demokrat satu daripada empat kerusi tambahan bersih yang diperlukan untuk memperoleh majoriti.
Dalam pada itu, Parti Demokrat diramal mempunyai peluang cerah di Dewan Perwakilan manakala saingan di Senat masih sengit di beberapa negeri tumpuan.
Sejarah politik AS menunjukkan parti yang memegang jawatan Presiden kerap kehilangan kerusi dalam pilihan raya pertengahan penggal sejak Perang Dunia Kedua.
Bagi mendapatkan majoriti di Dewan Perwakilan, Parti Demokrat perlu memenangi sebahagian daripada 47 kerusi persaingan sengit di seluruh negara.
Bagi saingan Senat pula, Parti Demokrat berdepan tugas mencabar apabila perlu mempertahankan kerusi sedia ada di samping menguasai beberapa negeri yang sebelum ini dimenangi oleh Parti Republikan.
Sekiranya kesemua persaingan lain berlangsung seperti yang diramalkan, Parti Demokrat hanya perlu memenangi 13 daripada persaingan berkenaan untuk mendapat kelebihan majoriti.
Namun, Demokrat mempunyai jurang kesilapan yang amat tipis di Senat. Parti berkenaan perlu mempertahankan kesemua kerusi sedia ada sambil memenangi sekurang-kurangnya dua negeri yang memihak kepada Trump dengan kelebihan majoriti dua digit pada dua tahun lalu seperti Alaska, Iowa, Kansas, Nebraska, Ohio, South Carolina dan Texas.
Proses pengiraan undi di seluruh negara masih berjalan bagi menentukan penguasaan penuh ke atas pentadbiran Kongres AS.




