audreymd@nst.com.my
Georgetown: Dua lelaki maut manakala seorang wanita cedera dalam dua kemalangan jalan raya berasingan di sekitar Pulau Pinang, lewat malam tadi hingga awal pagi ini.
Dalam kejadian pertama jam 11.38 malam, sebuah bas awam Rapid terbabit dalam perlanggaran dengan motosikal Modenas Z250 di hadapan Sunshine Square 1, Jalan Mayang Pasir, Bayan Lepas.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya di lokasi, pasukan penyelamat mendapati terdapat dua mangsa yang menaiki motosikal berkenaan. Seorang wanita berusia 23 tahun yang tersepit di bahagian hadapan bas berjaya dikeluarkan pada jam 11.55 malam sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang menggunakan ambulans komuniti selepas menerima rawatan awal.
“Mangsa kedua, penunggang motosikal berusia 29 tahun yang dikenal pasti sebagai Goy Wee Sherng, pula didapati tersepit dalam keadaan tidak sedarkan diri di bawah bas.
“Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 12.30 tengah malam, namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Francis berkata, pemandu bas terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan manakala mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, dalam kejadian pada jam 6.35 pagi, anggota bomba bergegas ke lokasi kemalangan maut membabitkan sebuah kenderaan di Seri Tanjung Pinang, berhampiran Straits Quay, Tanjung Tokong.
Seramai enam anggota dari BBP Bagan Jermal dikerahkan ke lokasi selepas sebuah kereta Toyota Vios dilaporkan terbabas sebelum merempuh sesuatu.
“Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang memandu kereta itu ditemui tersepit di tempat duduk pemandu dalam keadaan tidak sedarkan diri. Pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan mangsa pada jam 6.55 pagi, namun dia disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan,” katanya.
Identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




