am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Selepas sekian lama menjadi nadi hiburan dan dikagumi di Pantai Timur, gelombang muzik serta warisan budaya Kelantan bakal ‘ditumpahkan’ ke ibu kota menerusi konsert berskala besar, Kelate Ke KL 2026 di Zepp Kuala Lumpur pada 29 Ogos depan.
Mengangkat tema ‘Suaro Kito, Jiwo Kito – 100% Ori Kelate’, konsert ini akan menghimpunkan barisan artis popular dan tular kelahiran negeri Pantai Timur itu bagi mengetengahkan keunikan seni, budaya serta identiti dialek mereka yang pekat.
Antara nama besar yang disahkan bakal menjayakan konsert berkenaan ialah bintang Pantai Timur antaranya Eda Ezrin, Rosalinda, Adik Waniey, Man Khan, Den Manjo, Fendi Kenali dan vokalis kumpulan rock legenda, Aris Capella.
Bukan sekadar persembahan muzik arus perdana semata-mata, malam penuh bertenaga itu turut diserikan dengan elemen kebudayaan yang sangat sinonim dengan Kelantan termasuk alunan Dikir Barat dan keunikan Wayang Kulit sebagai sebahagian daripada pengisian utama program.
Pengarah Projek Kelate Ke KL 2026, Mas Ayie Mas Omar berkata penganjuran acara berkenaan bertujuan menghimpunkan anak-anak Kelantan yang merantau serta peminat muzik Pantai Timur dari seluruh negara dalam satu platform sama.
“Kelate Ke KL 2026 bukan sekadar sebuah konsert hiburan kosong, sebaliknya ia menjadi ruang terbesar untuk meraikan identiti, seni dan budaya Kelantan kepada khalayak yang lebih luas,” katanya kepada Harian Metro.
Tambahnya, pelbagai lagi pengumuman menarik termasuk penampilan khas artis jemputan, pengisian budaya tersirat dan beberapa kejutan eksklusif lain akan didedahkan secara berperingkat menjelang tarikh penganjuran.
Bagi peminat yang tidak mahu melepaskan peluang merasai kehangatan malam nuansa Pantai Timur ini, maklumat mengenai penjualan tiket akan diumumkan dalam masa terdekat.
Tiket rasmi akan dijual secara eksklusif menerusi platform tiket dalam talian, Illaso.
Konsert Kelate Ke KL 2026 dibawakan secara kolaborasi strategik oleh Natriya Enterprise, Irama Entertainment dan Ikarl Project.
© New Straits Times Press (M) Bhd




