NRES sedia beri kerjasama penuh siasatan pemindahan gajah

NRES sedia beri kerjasama penuh siasatan pemindahan gajah

bhnews@bh.com.my

Putrajaya: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedia memberi kerjasama penuh dan menyeluruh dalam siasatan berhubung isu pemindahan tiga gajah Asia dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat (DAK) dari Zoo Taiping di Perak ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun.

Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, NRES tidak akan melindungi mana-mana pihak jika terbukti wujud sebarang salah laku, penyelewengan atau pelanggaran prosedur dalam urusan pemindahan haiwan berkenaan.

“NRES mengambil maklum mengenai siasatan yang sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu proses pemindahan tiga ekor gajah Asia dari Zoo Taiping, Perak ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun.

“NRES menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang dalam setiap aspek pengurusan hidupan liar negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Media semalam melaporkan SPRM membuka kertas siasatan isu pemindahan tiga gajah Asia dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat (DAK) dari Zoo Taiping di Perak ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun.

SPRM dalam satu kenyataannya, memaklumkan suruhanjaya itu ketika ini giat mendapatkan keterangan daripada beberapa agensi awam termasuk NRES serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Mengulas lanjut, Arthur berkata, NRES sedia memberikan kerjasama pennuh bagi memastikan proses siasatan dapat dilengkapkan secara menyeluruh dan telus.

“Kementerian juga tidak akan sesekali berkompromi atau melindungi mana-mana pihak sekiranya terbukti wujud sebarang salah laku, penyelewengan atau pelanggaran prosedur dalam urusan pemindahan berkenaan demi memelihara integriti institusi serta nama baik negara di peringkat antarabangsa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top