Denda SR500,000 untuk pengembara dari negara dilarang masuk

Denda SR500,000 untuk pengembara dari negara dilarang masuk

RIYADH: Pengembara yang memasuki Arab Saudi dari negara yang berada dalam senarai larangan kemasukan kerana penularan COVID-19 berdepan hukuman denda SR500,000 (RM562,591)

Pendakwa Raya dalam kenyataan berkata pengembara yang tiba dengan penerbangan dari negara yang dilarang kemasukan, syarikat penerbangan serta pengendali perjalanan bertanggungjawab mendedahkan butiran pengembara di pintu masuk negara.

Pihak berkenaan perlu mengisytiharkan sama ada pengembara itu ada mengunjungi negara yang terjejas akibat pandemik atau mana-mana strain yang bermutasi.

Memetik laporan Saudi Gazette, sekiranya gagal berbuat demikian tindakan tegas akan dikenakan terhadap tiga pihak berkenaan.

Individu yang melanggar peraturan akan didenda hingga setengah juta rial dan kesalahan itu juga akan ditanggung syarikat penerbangan dan ejen pelancongan.

Jika pelanggaran itu disertai dengan pelakuan jenayah, kes akan dirujuk ke Pendakwa Raya sebelum dibawa ke mahkamah.

Sebelum ini memetik Twitter Haramain Sharifain, media melaporkan penerbangan langsung dibenarkan dari semua negara kecuali India, Pakistan, Indonesia, Mesir, Turki, Argentina, Brazil, Afrika Selatan dan Lubnan yang dikehendaki menjalani kuarantin selama 14 hari di negara ketiga, sebelum tiba di Arab Saudi.

Kelmarin Kementerian Haji dan Umrah mengumumkan lebih 20,000 jemaah daripada dalam dan luar Arab Saudi akan menunaikan umrah dalam tempoh beberapa hari lagi .

Jurucakap kementerian, Hisham Bin Saeed, berkata kebenaran hanya diberikan kepada jemaah dari negara yang tidak terikat dengan larangan kemasukan oleh Kementerian Kesihatan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (GACA). – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top