Dengar bisikan ibu sembah berhala, punca anak sulung tikam leher warga emas

Berita tentang seorang pesara guru wanita yang ditemui maut dengan kesan tikaman di leher di Kampung Paya Luboh petang tadi benar-benar mengejutkan ramai.

Difahamkan kejadian tersebut dilakukan oleh anak lelakinya sendiri yang berusia 38 tahun di kediaman mereka kira-kira jam 3 petang tadi.

Anak perempuan mangsa yang menemui ibunya dalam keadaan berlumuran darah telah menjerit meminta bantuan.

Menerusi laporan dari Utusan Malaysia, suspek didapati tidak melarikan diri dan telah ditahan oleh orang kampung yang datang untuk memberikan bantuan kepada mangsa.

Menurut Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah , suspek mengaku telah menikam leher ibunya dengan sebilah pisau berukuran 26 sentimeter (cm).

Suspek yang juga pernah mendapat  rawatan psikiatri di Hospital Melaka mendakwa melakukan tindakan sebegitu kerana mendengar bisikan mengatakan yang ibunya menyembah berhala.

“Atas sebab itu, suspek dikatakan masuk ke bilik ibunya yang baru sahaja selesai mandi sebelum menikam leher kiri dan kanan mangsa menggunakan pisau memotong sayur.
“Suspek kemudiannya dikatakan telah menyerahkan pisau itu kepada ibunya, sebelum ibunya bertindak membuang pisau itu melalui tingkap di biliknya,” katanya.

Terdahulu, seorang warga emas telah disahkan meninggal dunia dengan kesan tikaman di leher di kediamannya.

Difahamkan pesara guru itu juga baru sahaja kematian suami kita-kira sebulan yang lalu.

Sumber: Utusan Malaysia (Abdul Hadi Ab. Manap)