asmaini@mediaprima.com.my
PERASAAN malu yang masih menebal dan pantang larang masyarakat menyebabkan pelbagai isu membabitkan kesihatan peribadi wanita tidak disedari atau kurang diberi perhatian sewajarnya.
Isu-isu seperti kesihatan reproduktif terutama membabitkan kaedah pencegahan hamil, endometriosis, senggugut mahupun pendarahan haid yang berlebihan antara masalah kesihatan utama wanita dan ia sering diabaikan hingga menyebabkan mereka menderita dalam diam.
Ini kerana masih ramai wanita yang kurang selesa bercakap mengenainya dan kesihatan peribadi masing-masing secara terbuka sedangkan jika dibiarkan, isu berkenaan boleh menjejaskan keupayaan selain memberikan kesan negatif yang ketara terhadap kualiti kehidupan mereka.
Menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Sunway, Dr Hoo Mei Lin, tiga isu kesihatan biasa yang sering dialami wanita adalah masalah haid, kanser serviks dan kesihatan reproduktif namun beliau akui masih ramai yang malu untuk bercakap secara terbuka mengenainya.
Selain itu kata Dr Mei Lin, banyak mitos yang turut bermain di fikiran wanita terutama membabitkan isu kaedah perancang keluarga kononnya ia akan mengakibatkan ketidaksuburan.
“Dalam tiga isu utama berkaitan, wanita seharusnya perlu lebih terbuka selain tidak malu untuk berkongsi masalah yang dialami kerana berisiko terdedah kepada masalah seksual dan reproduktif.
“Jadi, lindungilah kesihatan reproduktif anda menerusi pengesanan awal dan saringan kesihatan pencegahan kerana pemeriksaan itu penting untuk memantau sebarang gejala yang mungkin menandakan penyakit yang dialami,” katanya pada Forum Untuk Wanita: Perbualan Mengenai Penjagaan #ConversationsOfCare, di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Forum bagi membincangkan kesihatan wanita anjuran Pusat Pengajian Farmasi, Monash University Malaysia dan Bayer Co (Malaysia) Sdn Bhd itu diadakan sempena Pesta Kesejahteraan @ Minggu Monash, inisiatif tahunan universiti berkenaan untuk meningkatkan kesihatan serta kesejahteraan warganya.
Selain Dr Mei Lin, forum berkenaan turut disertai Profesor dan Ketua Pusat Pengajian Farmasi, Monash University Malaysia, Professor Shaun Lee; Ketua Unit Kesihatan Reproduktif, Jabatan Reproduktif Manusia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr Wan Hilya Munira Mustapha; Pengurus Penjagaan Profesional & Pembangunan, Alpro Pharmacy, Ng Yi Ling dan Presiden Persatuan Endometriosis Malaysia (MyEndosis), Surita Mogan.
Dalam pada itu, Dr Wan Hilya berkata, Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Ke-5 mendedahkan bahawa 89.3 peratus daripada wanita dalam usia reproduktif memilih untuk membuat keputusan sendiri mengenai penggunaan kaedah pencegahan kehamilan.
Ia menunjukkan bahawa wanita di negara ini mampu dan berupaya membuat keputusan terbaik mengenai kesihatan reproduktif mereka.
Begitupun kata Dr Wan Hilya, wanita perlu mendapatkan maklumat yang tepat bagi membantu mereka membuat keputusan terbaik untuk diri sendiri.
“Masih ada yang mempercayai kononnya apabila menggunakan perancang keluarga akan membuatkan berat badan mereka bertambah, pendarahan dan sebagainya.
“Sedangkan, kaedah perancang keluarga (sama ada dalam bentuk pil, suntikan, implan, alat dalam rahim (IUCD) dan sebagainya) diakui berkesan untuk membantu menghalang daripada kehamilan yang tidak dirancang.
“Ia juga adalah cara paling mudah untuk wanita mendapatkan kehidupan yang lebih sihat dan bahagia tanpa perlu dibebani masalah berkaitan kehamilan yang tidak dirancang,” katanya.
Dalam pada itu, endometriosis sering dirujuk sebagai ‘penyakit yang terlepas pandang’ walaupun dialami seorang dalam 10 wanita pada usia reproduktif.
Kajian mendapati bahawa masa sehingga 11 tahun diperlukan sebelum pesakit yang mengalami sakit pelvik untuk disahkan menghidap endometriosis.
Berkongsi pengalaman peribadinya, Surita berkata, wanita yang mengalami gejala yang mungkin menandakan endometriosis tidak harus menderita dalam diam dan digalakkan mendapatkan rawatan perubatan secepat mungkin.
Katanya, kurang kesedaran mengenai endometriosis dan pantang larang sosial berkaitan penyakit berkenaan menjadi faktor umum yang dikaitkan dengan kelewatan pesakit untuk mendapatkan rawatan.
“Walaupun penyakit ini didapati lazim, tapi ramai percaya bahawa endometriosis ialah masalah yang jarang dialami dan kebanyakan wanita menderita sakit dalam diam kerana mereka tidak tahu apakah yang dianggap normal serta apakah yang tidak normal dari segi kesihatan haid?
“Endometriosis bukan satu penyakit yang dibincangkan secara umum namun dengan memulakan perbualan mengenainya, masyarakat boleh meningkatkan kesedaran, menghapuskan tanggapan negatif dan meruntuhkan halangan berkaitan penyakit berkenaan,” katanya.
Sementara itu, #ConversationsOfCare adalah inisiatif oleh Bayer di bawah kempen Bayer Untuk Wanita yang menggalakkan wanita Asia untuk bertindak dan berbual mengenai isu kesihatan mereka selain bincang dengan profesional penjagaan kesihatan mengenai masalah dihadapi.
Ia memandangkan kesan sosial yang dihadapi wanita sama ada di rumah mahupun di tempat kerja sering menimbulkan banyak tekanan serta perasaan malu.
Justeru, inisiatif seumpama itu penting dalam usaha untuk menambah baik kesihatan wanita sambil menggunakan platform berkenaan bagi memperkasakan golongan terbabit supaya lebih berani bersuara dan mendapatkan sokongan yang diperlukan.
Sambil wanita memainkan peranan penting dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat, sememangnya terdapat keperluan yang semakin besar untuk menangani masalah kesihatan unik mereka.
Ini kerana wanita sering memberi tumpuan untuk menjaga kepentingan orang lain sehingga terlupa untuk mengutamakan kesihatan diri mereka sendiri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




