amir_hamid@mediaprima.com.my
DERUAN air yang mengalir laju di celahan batu besar, tiupan angin hutan dan suasana redup di bawah rimbunan pokok menjadikan air terjun di Hutan Lipur Sungai Gabai antara lokasi rekreasi alam semula yang menjadi pilihan warga kota untuk ‘melarikan diri’ seketika daripada kesibukan harian.
Terletak di Hulu Langat, Selangor, kawasan rekreasi itu hanya kira-kira 22 hingga 23 kilometer dari Cheras dan Ampang, sekali gus menjadikannya mudah diakses terutama bagi pengunjung dari Kuala Lumpur serta Lembah Klang.
Keunikan utama lokasi ini ialah air terjunnya yang bertingkat-tingkat dengan laluan simen dan ratusan anak tangga untuk pengunjung naik ke bahagian lebih atas.
Walaupun memerlukan sedikit tenaga untuk mendaki, perjalanan itu sebenarnya cukup menghiburkan kerana pengunjung dapat menikmati pemandangan hutan dipterokarpa bukit, bunyi aliran sungai serta udara segar sepanjang perjalanan.
Di beberapa bahagian, ada gazebo dan pondok rehat yang sesuai dijadikan lokasi berkelah bersama keluarga atau rakan-rakan.
Kemudahan asas seperti surau, tandas, bilik persalinan dan kawasan parkir turut disediakan bagi keselesaan pengunjung.
Air sungainya yang jernih dan sejuk pula cukup menggamit sesiapa sahaja untuk merendam kaki sambil menikmati ketenangan alam.
Bagi pencinta fotografi, Sungai Gabai juga terkenal dengan latar batu-batu besar, aliran air yang deras serta kehijauan hutan yang menjadikan setiap sudut tampak menarik dirakam kamera.
Pepatung berwarna-warni yang berterbangan kemudian singgah di batu sungai menjadikan lokasi alam semula jadi ini lebih indah, sekali gus membawa kita berfikir mengenai kebesaran Ilahi.
Selain mandi-manda dan berkelah, ada juga pengunjung memilih untuk melakukan aktiviti ‘trekking’ ringan kerana laluan ke atas air terjun agak sesuai untuk santai hujung minggu.
Namun, seperti lokasi rekreasi air terjun lain, aspek keselamatan tetap perlu diberi perhatian terutama ketika musim hujan bagi mengelakkan risiko kepala air.
Pengunjung juga disaran menjaga kebersihan kawasan hutan lipur itu dengan tidak membuang sampah merata-rata supaya keindahan semula jadi terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Dengan jarak yang tidak terlalu jauh dari ibu kota, Air Terjun Sungai Gabai kekal sebagai antara destinasi santai pilihan ramai yang mahukan ketenangan alam tanpa perlu memandu jauh keluar bandar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




