Polong seram nak mati!

Polong seram nak mati!

FILEM: Polong

PENGARAH: Zulkarnain Azhar

PELAKON: Mimi Lana, June Lojong, Fad Anuar, Nadiya Nissa, Namron, Riezman Khuzaimi dan Amir Nafis

TERBITAN: Apuu Films dan Golden Star Pictures

EDARAN: 10 Star Cinemas, Primeworks Studios dan Astro Shaw

TAYANGAN: 28 Mei 2026

ULASAN: Puteri Alia Zanaruddin

(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

“Yang mati meninggalkan yang hidup, yang hidup, hidup bersama yang mati.”

Kalimat keramat ini bukan sekadar dialog kosong, sebaliknya ia meresap jauh dalam sanubari penonton sebaik melangkah keluar dari panggung wayang.

Polong tampil mengangkat sebuah naskhah seram inspirasi daripada kisah benar yang pernah menggemparkan seluruh tanah air suatu ketika dahulu.

Mengikut definisi yang dikeluarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), polong bermaksud sejenis hantu yang dipercayai dibela biasanya oleh lelaki untuk mengganggu orang lain atau membuatkan seseorang jatuh sakit.

Naskhah yang sarat dengan emosi dan mistik ini sebenarnya menyelami dengan mendalam kisah kehidupan Maria Hadi, penyanyi wanita terkenal era-80 an yang pernah mengecap populariti luar biasa.

Namun, di sebalik dunia populariti itu, Maria meniti kehidupan suram dan bergelumang dengan dosa apabila sanggup mengamalkan ilmu hitam demi kepentingan diri sendiri.

Perkataan ‘janji’ digunakan secara berulang kali sepanjang tayangan Polong seolah-olah menjadi motif utama yang ingin ditekankan oleh pengarah, sekali gus mahu menunjukkan dengan jelas bahawa jika seseorang itu bertindak untuk memungkiri janji, maka balasan yang sangat dahsyat bakal menanti mereka.

Impak daripada pelanggaran janji itu, memberi kesan mendalam apabila diganggu secara agresif sehingga keadaannya tidak bermaya.

Pemilihan barisan pelakon oleh pengarah, Zulkarnain Azhar ternyata membuahkan hasil apabila gandingan June Lojong dan Nadiya Nissa kelihatan begitu menjadi.

Memiliki keirasan wajah yang seakan-akan sama, keserasian mereka berjaya menghidupkan lagi impak misteri dalam naskhah ini.

Selain itu, pemilihan Mimi Lana yang membawa watak sebagai wartawan jenayah berkesan memandangkan sebelum ini Mimi pernah membawa watak wartawan jenayah beberapa kali.

Manakala, pemilihan Fad Anuar sebagai Mamat turut memberi impak dengan membawa watak sebagai lelaki psiko.

Malah, atmosfera seram filem ini turut digandakan lagi dengan elemen kesan khas, tatarias yang meyakinkan serta runut bunyi yang berjaya mencengkam jiwa penonton dengan emosi ketakutan yang nyata.

Selain unsur seram, nilai kasih sayang antara seorang ibu dan anak juga dapat ditonjolkan dalam filem ini.

Secara keseluruhannya, Zulkarnain yang juga pengarah filem Takluk: Lahad Datu menunjukkan Polong bukan sekadar sebuah filem seram, tetapi sebuah naskhah yang memberi pengajaran mendalam mengenai bahayanya mengamalkan ilmu hitam dan impak buruk kepada diri sendiri serta orang sekeliling.

Babak terakhir yang memaparkan renungan kosong Marissa di tempat duduk belakang kereta pastinya membuatkan bulu roma penonton berdiri tegak usai menonton filem ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top