Desatera rancang perluas nilai perniagaan, tumpuan pembangunan produk baharu

Desatera rancang perluas nilai perniagaan, tumpuan pembangunan produk baharu

hafizithnin@mediaprima.com.my

Bangi: Desatera Sdn Bhd, anak syarikat Brahims Dewina Group, merancang memperluaskan nilai perniagaan syarikat dalam industri makanan dengan memberi tumpuan kepada pembangunan produk baharu sebagai langkah membawa operasi sedia ada ke tahap lebih tinggi bermula tahun 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Desatera Sdn Bhd, Datuk Feizal Nor Nurbi berkata, syarikatnya yang sinonim dengan penyediaan makanan dan perkhidmatan sajian tidak mahu mengehadkan operasi hanya kepada perkhidmatan katering semata-mata, sebaliknya mahu menambah nilai dalam rantaian perniagaan makanan yang sedang dirancang.

Katanya, syarikat itu kini merangka cadangan baharu yang berpotensi menggabungkan kekuatan perkhidmatan makanan dan memaklumkan rancangan itu masih dalam peringkat awal.

“Kami fokus kepada perkhidmatan sajian dari hari pertama sampai hari ini. Jadi kita akan meneruskan untuk tambah nilai dalam perniagaan ini.

“Ada sesuatu yang kami sedang rancang sekarang ini. Jika tanya semula sekitar Jun, kami boleh beri lebih banyak perincian. Buat masa ini, kami mahu sediakan cadangan yang lebih menyeluruh untuk dikongsikan,” katanya pada majlis Preview Nostalgia Ramadan di Randau Rasa, di sini, hari ini.

Nostalgia Ramadan adalah sajian buffet yang ditawarkan oleh restoran berkenaan bermula pada 21 Februari 2026 hingga 18 Mac ini.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengesahkan kontrak katering tentera yang menjadi antara perniagaan utama syarikat masih berjalan setakat ini, namun pelaksanaannya kini lebih banyak bergantung kepada sambungan kontrak jangka pendek sementara menunggu proses tender baharu.

Menurutnya, kontrak asal dijadual tamat pada April 2023, namun disebabkan beberapa faktor serta keperluan mendesak di peringkat kerajaan, tender belum dapat dilaksanakan sepenuhnya menyebabkan kontrak terbabit disambung dari semasa ke semasa.

“Sehingga hari ini kontrak kami masih berjalan. Kontrak asal tamat pada 2023, bulan April. Tetapi disebabkan faktor tertentu, mereka tidak dapat menjalankan proses tender, jadi kontrak kami dipanjangkan sehingga hari ini.

“Kami harap tender atau permintaan cadangan itu dapat dilaksanakan secepat mungkin kerana apabila kontrak disambung secara jangka pendek setahun atau enam bulan seperti ini, memang sukar untuk kami membuat perancangan terutama dari segi bekalan bahan mentah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top